Sembilan mangsa korban banjir di Selangor, enam di Shah Alam

Polis mengesahkan dua lagi mayat dipercayai mangsa lemas ditemukan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini, menjadikan enam kes kematian disebabkan banjir yang melanda Shah Alam semalam.

Polis berkata mangsa dipercaya berusia 70 dan 90 tahun dijumpai di Seksyen 25 kira-kira 4 petang tadi.

Terdahulu, empat mayat, dipercayai korban banjir di Taman Sri Muda ditemukan awal pagi tadi, termasuk seorang yang meninggal dunia di tingkat atas rumahnya.

Kesemua mayat lelaki itu ditemui orang awam dan bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan. Dua ditemukan pada 1 pagi manakala seorang pada 5 pagi.

Ketua Polis Shah Alam Asistem Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan penemuan mayat itu berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Jumlah mangsa terkorban di Selangor dicatat setakat ini ialah sembilan orang.

Dua lagi mangsa bencana dipercayai terkorban di Dengkil, Sepang dan seorang lagi di Desa Coalfields, Kuala Selangor.

Seorang lagi mangsa banjir di Sri Muda dikhuatiri masih hilang.

Situasi banjir di Lembah Klang ketika ini, terutama Selangor disifatkan luar biasa dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.

Beberapa penduduk Shah Alam, terutama di Seksyen 19 menyifatkan banjir ini adalah yang terburuk sejak lebih 40 tahun lalu, kerana rumah mereka turut dimasuki banjir sehingga ke paras dada.

BERITA BERKAIT
POPULAR