Sembilan kematian semalam, kes aktif terus melonjak

Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam kekal rendah apabila merekodkan sembilan kes, termasuk dua pesakit yang meninggal dunia di luar hospital (BID).

Jumlah baharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 32,034 kes, termasuk 6,464 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi.

Hanya enam negeri merekodkan kematian semalam, dengan kes tertinggi dilaporkan di Johor sebanyak empat kes, diikuti masing-masing satu kes di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang; dan Terengganu.

Walaupun, jumlah jangkitan baharu semalam meningkat daripada 9,117 kes pada Sabtu kepada 10,089 kes semalam, jumlah kematian sejak lebih sebulan lalu kekal rendah berbanding ketika kemuncak penularan varian Delta sebelum ini.

Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, kini merekodkan kumulatif positif sebanyak 265,703 kes, dengan 250,276 pesakit telah sembuh, 2,929 kes kematian dan 11,498 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 10,248 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 608 ditempatkan di PKRC; 625 dimasukkan ke hospital; dan 17 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kelmarin, seramai 3,053,970 atau 80.8 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,084,545 atau 81.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,422,106 atau 52.4 peratus individu dewasa telah diberi suntikan dos penggalak.

Sementara itu, lima negeri kekal merekodkan kumulatif kes positif melebihi 200,000, dengan tertinggi dicatat Selangor sebanyak 826,986, diikuti Johor (265,703); Sarawak (253,003); Sabah (252,930); dan Kuala Lumpur (223,493 kes).

Sejak awal 2020 lalu hingga semalam, negara merekodkan 2,914,220 dengan 2,812,614 pesakit telah sembuh, dan 69,572 kes masih aktif, meningkat 3,620 kes berbanding kelmarin.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 60,999 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,474 ditempatkan di PKRC; 3,962 dimasukkan ke hospital; dan 137 pesakit lagi dirawat di ICU, dengan 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 6 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR