Semalam tolak, hari ini Dr Dzul kata dua minggu PKP penuh tak cukup

Selepas kenyataannya terpaksa ‘diperbetulkan’ oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini membuat pusingan U.

Semalam pada sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Dzulkefly menolak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika Kerajaan Pusat ingin melaksanakannya.

Bekas menteri kesihatan itu mendakwa Selangor bukanlah paling parah dalam kes Covid-19 kerana negeri ini menduduki tempat keempat selepas Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak dari segi nisbah penduduk.

Bagaimanapun lebih sejam kemudian, Amirudin terpaksa memperbetulkan kenyataan Dr Dzulkefly sambil menyatakan kerajaan Selangor menyerahkan keputusan melaksanakan PKP penuh kepada Pusat.

Namun, hari ini Dr Dzulkefly menegaskan pula bahawa, tempoh PKP penuh selama dua minggu tidak cukup untuk benar-benar menghentikan jangkitan virus tersebut, terutamanya jangkitan yang membabitkan kluster yang mempunyai beberapa generasi.

Katanya jika PKP penuh dilaksanakan di Selangor, kaedah yang dilakukan haruslah berbeza, berbanding dengan pelaksanaannya semasa PKP 1.0.

“Situasi semasa jangkitan Covid-19 di negeri itu memerlukan pendekatan yang berbeza, iaitu ia mesti bersekali dengan tindakan-tindakan yang dapat menghentikan penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, jika Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP ke atas mana-mana ia hendaklah dilakukan berasaskan kepada bukti saintifik dan epidemiologi yang telus.

“Surveilan berkala / ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag yang pantas bagi masyarakat, hendaklah dilaksanakan dan dilaksana oleh kesemua pihak bagi tujuan mengekang penularan dengan pantas.

“Pengurusan kes-kes Covid-19 di peringkat masyarakat / kesihatan primer diperkukuh dan dikemaskan secara digital; bagi mengurangkan beban kerja Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik-klinik Kesihatan KKM, dan juga kakitangan perubatan di lapangan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR