
Ramai rakyat Malaysia semakin menjadi miskin akibat peningkatan kos sara hidup.
Selepas pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia dua tahun lalu, ekonomi dua mengalami kemerosotan yang teruk.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila konflik berterusan Rusia-Ukraine telah menjejaskan rantaian bekalan makanan sehingga menyumbang kepada kadar inflasi terburuk dan kemelesetan ekonomi global.
Malah Malaysia turut terkesan dengan peningkatan harga barang keperluan. Bayangkan harga minyak masak, daging ayam, telur ayam dan pelbagai lagi naik mendadak. Sudah tentu RM50 seperti tidak mencukupi membeli barang keperluan di pasar. Ini berbeza dengan situasi 10 tahun lalu. Dengan nilai wang yang sama, kita boleh membeli pelbagai barang keperluan.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, paras kemiskinan negara bertambah melebihi 230,000 isi rumah dengan Sabah, Kelantan dan Terengganu dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai kadar pendapatan terendah pada 2020.
Lebih membimbangkan apabila 20 peratus kumpulan isi rumah M40 yang mempunyai pendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada B40, manakala 12.8 peratus golongan T20 yang mempunyai pendapatan RM15,000 ke atas bertukar status kepada M40.
Peratusan penurunan pendapatan isi rumah B40 dan M40 lebih besar berbanding T20, masing-masing 15.9 dan 36.9 peratus pada 2020 berbanding 16 dan 37.2 peratus pada 2019.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menggesa MPN peringkat negeri dibentuk segera bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bagi mengatasi isu tersebut.
Beliau berkata, jika tidak diberi tumpuan segera akan memberikan kesan besar, antaranya pertambahan kadar kemiskinan.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata, bilangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan mental sejak pandemik melanda sehingga kini meningkat terutama melibatkan kes kemurungan dan keresahan.
Kajian dalam talian melibatkan 1,554 penduduk Malaysia yang disiarkan ‘Clinical Epidemiology and Global Health’ pada Oktober 2021 mendapati 70 peratus esponden mengalami gejala murung sederhana dan teruk selepas gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.
Tidak hairanlah krisis ekonomi menyumbang kepada masalah mental hingga tahap membunuh diri.
Justeru, kerajaan tidak seharusnya mengambil mudah atau remeh isu yang berlaku. Lebih menyedihkan, ahli politik kini sibuk dengan agenda untuk berhadapan dengan pilihan raya yang kononnya tidak lama lagi dilaksanakan. Seharusnya, keperluan, kebajikan dan masalah rakyat masa kini menjadi keutamaan.
Walaupun golongan B40 terus diberi bantuan, bagaimana dengan golongan pertengahan? Rata-rata kumpulan ini meluahkan keresahan kerana kekangan ekonomi khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan. Malah golongan peniaga mengeluh bahawa tidak mampu mencapai keuntungan bahkan gagal mendapatkan pulangan modal.
Kerajaan haruslah mendengar dan buka mata terhadap isu yang berlaku, sebaliknya perlu memandang serius isu kesihatan mental serta tekanan emosi rakyat Malaysia kerana ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara.