Seluruh Kelantan kena PKP sehingga 29 April

Data 21 April 2021

Semua jajahan di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 370 jangkitan baharu dilaporkan daripada 30 kluster.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga lagi jajahan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang dikenakan PKP bermula esok hingga 29 April.

Sebelum ini PKP dilaksanakan di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah bermula 16 April hingga 29 April.

Katanya, pelaksanaan PKP di tiga jajahan terbaharu itu dikuatkuasakan berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

“KKM melaporkan terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes dan ketiga-tiga jajahan ini telah bertukar kepada zon merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKP adalah untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti itu dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain.

Ismail Sabri juga berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPK) di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau Serai di Pekan, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan hingga 29 April susulan peningkatan kes.

Sementara itu, sebanyak 2,340 jangkitan baharu dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan setakat ini 381,813.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 2,328 kes membabitkan penularan tempatan, dan 12 adalah kes import.

Katanya, 1,910 kes sembuh dilaporkan bagi tempoh sama, sementara 248 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 101 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 11 kematian baharu melibatkan sembilan warganegara dan dua warga asing berumur antara 61 hingga 82 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 di negara ini sebanyak 1,400,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 11 lagi kluster baharu dikesan melibatkan empat kluster pendidikan termasuk tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), tiga kluster komuniti, dua kluster tempat kerja, serta masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Dr Noor Hisham berkata, kluster pendidikan melibatkan institusi pendidikan KPM ialah Kluster Jalan Anggerik 21 di Johor, Kluster Pengkalan Batik (Melaka) dan Kluster Anggerik Cempaka (Kedah), manakala kluster bukan institusi di bawah KPM ialah Jalan Langat Ceria (Selangor).