Selewat-lewatnya sempadan negara dibuka 1 Jan kepada pelancong: MPN

Sempadan negara bakal dibuka selewat-lewatnya 1 Januari depan kepada pelancong asing sebagai langkah untuk menghidupkan semula industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini selepas diberikan taklimat agensi berkaitan dan menyifatkan langkah tersebut bertujuan memulihkan industri pelancongan agak perlahan berikutan ketiadaan pelancong asing.

“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan bagi sektor pelancongan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Muhyiddin berkata MPN juga diberi taklimat mengenai ekonomi oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, yang berkata prestasi ekonomi negara bagi Suku ke-2 2021 masih di bawah paras prapandemik kecuali sektor pembuatan.

“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa prospek ekonomi negara bagi Suku Tahun Ketiga dan Keempat, 2021 menunjukkan bahawa keadaan ekonomi masih mencabar,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan akan melakukan lebih banyak usaha untuk memastikan negara mencapai matlamat ekonominya.

Pada Ogos, Bank Negara telah meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang tiga hingga empat peratus tahun ini selepas ekonomi negara menguncup 5.6 peratus tahun lepas.

Sementara itu, Muhyiddin berkata majlis itu turut membincangkan keperluan buruh dan pelaksanaan Program Penentukuran Semula Sumber Manusia oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

“Majlis mengambil maklum langkah-langkah penambahbaikan program rekalibrasi yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen yang boleh membantu mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi pelbagai sektor ekonomi,” katanya.

Langkah-langkah tersebut akan diperincikan lebih lanjut oleh agensi berkaitan

MPN berkata ia berpuas hati dengan taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai aliran menurun dalam kes harian Covid-19, kematian, kemasukan ke hospital dan kadar vaksinasi yang tinggi.

BERITA BERKAIT
POPULAR