
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selepas pemimpin UMNO dilihat ‘menyerang’ Naib Presiden parti itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) juga tidak mahu melepaskan peluang apabila turut membuat desakan terhadap Perdana Menteri.
Menerusi satu kenyataan media bersama hari ini, Majlis Presiden PH menggesa kerajaan pimpinan Ismail Sabri mengumumkan dalam tempoh 24 jam pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup yang membelenggu rakyat.
Majlis Presiden PH turut menuntut menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap isu itu untuk meletakkan jawatan sekiranya gagal mengumumkan pelan berkenaan.
PH juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat, menurut kenyataan itu.
“Kita risau dengan perkembangan mutakhir isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam bahawa subsidi bagi minyak masak tulen berbotol, serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.
“Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat.
“Ketika ini, Kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini.
“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda,” kata Majlis Presiden PH.
Menurut kenyataan itu kerajaan mesti mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup ini dalam masa 24 jam.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan bersungguh-sungguh membantu rakyat, tatkala inflasi dan kenaikan kos sara hidup semakin membebankan.
“Kerajaan seharusnya bersungguh-sungguh membantu rakyat dengan mengumumkan satu pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh bagi menampung kenaikan kos sara hidup, seperti yang baru sahaja diumumkan Singapura.
“Sebanyak $1.5 bilion telah diumumkan pemerintah Singapura, termasuklah $100 pemberian kredit utiliti bagi setiap isi rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemimpin UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed juga hari ini mengkritik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terlemah pernah UMNO ada.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata Ismail Sabri tidak dapat membuat keputusan dalam pentadbirannya kerana dikekang oleh faktor tertentu, malah tindakan bertangguh dalam membuat keputusan berhubung isu Zuraida mencerminkan kelemahan kerajaan dipimpinnya ketika ini.
Sementara, bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak pula meminta kerajaan menaikkan harga petrol RON95 kerana subsidi secara pukal yang diberikan kerajaan menyebabkan ramai golongan T20 kini menggunakan RON95.
Ahli Parlimen Pekan itu juga membandingkan ketika pentadbirannya yang pernah menyelesaikan masalah dan ketidakadilan subsidi itu dengan mengapungkan harga minyak.