Selepas Penasihat Covid-19 dikecam, MB Selangor tukar keputusan

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengubah keputusan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor, selepas Pasukan Khas Covid-19 negeri itu dikecam dan dikritik hebat setelah menolak pelaksanaan itu.

Menerusi sidang media khasnya, Amirudin kelihatan keliru dan mendakwa laporan Selangor menolak PKP penuh tidak seperti yang digambarkan dan tidak tepat.

“Laporan Selangor tolak total lockdown separa tepat,” katanya.

Kenyataan Amirudin itu sekaligus menyanggah kenyataan Ketua Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang memaklumkan Selangor menolak pelaksanaan PKP penuh.

Malah, Amirudin seolah-olah meletakkan kesalahan pasukannya ke bahu kerajaan pusat, kerana katanya kuasa menguatkuasakan PKP penuh bukan terletak di tangan kerajaan negeri.

“Kuasa untuk mengumumkan PKP menyeluruh adalah terletak di bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diketuai oleh perdana menteri dan juga di bawah kerajaan Persekutuan, bagaimanapun kerajaan Selangor memandang serius, keutaaam kita untuk menjaga kesihatan dan ingin kembali kepada kehidupan sejahtera,” tegasnya.

Justeru katanya, keputusan pelaksanaan PKP penuh di Selangor mungkin akan diumumkan pada Jumaat ini.

“PKP penuh akan dibincangkan pada hari Jumaat ini,” katanya.

Jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan apabila negara hari ini mencatatkan kes harian tertinggi dengan 6,075 kes baru.

Daripada jumlah itu, Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,251 kes berbanding negeri-negeri lain.

Pada 17 Mei lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berpandangan PKP secara sepenuhnya mungkin perlu dilakukan di Selangor, dengan mengambil kira jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu.

Adham berkata, ada keperluan untuk mencadangkan kawalan pergerakan yang lebih ketat kepada kerajaan memandangkan PKP yang dikuatkuasakan pada masa ini dilihat tidak berupaya mengekang penularan wabak.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan meskipun pakar Kesihatan Awam telah membuat gesaan supaya segera dilaksanakan PKP penuh terutamanya di Selangor namun sehingga ke hari ini kerajaan negeri naungan PKR itu masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman, pelaksanaan itu perlu disegerakan kerana jika lambat bertindak ia akan memberi kesan yang lebih dahsyat.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
SOP ketat PKP dinilai semula jika kes harian Covid-19 turun 4,000June 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021