Selepas Najib, perbicaraan kes Rosmah juga bakal dijalankan dalam talian

Mahkamah menimbang untuk menjalankan perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes rasuah projek solar hibrid secara dalam talian, sama seperti melibatkan kes suaminya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan minggu lepas.

Pada minggu lepas, prosiding Mahkamah Rayuan semasa memutuskan keputusan mengekalkan hukuman terhadap Najib bersabit kes SRC International Sdn Bhd berjalan secara dalam talian atas alasan bekas Perdana Menteri itu menjadi kontak kasual kepada seorang pesakit Covid-19.

Pertimbangan untuk menjalankan prosiding kes Rosmah secara dalam talian dibuat selepas tertuduh tidak dapat menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 seperti yang dipaparkan pada status aplikasi Mysejahteranya, menurut laporan Malaysiakini.

Rosmah sebelum ini terlepas dua tarikh perbicaraan kerana status Mysejahteranya pada 8 dan 10 Dis.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hanya membenarkan mereka yang berstatus risiko rendah (warna biru) pada aplikasi MySejahtera untuk memasuki mana-mana premis.

Jika seseorang tidak diuji positif Covid-19, kebiasaannya akan mengambil masa 10 hari untuk status MySejahtera beralih ke kontak kasual (warna kuning) dan begitu juga bagi kontak rapat (merah) untuk kembali kepada risiko rendah (biru).

Rosmah tidak kelihatan dalam mahkamah. Bagaimanapun, Rosmah dilihat berada di dalam keretanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.

Difahamkan, Rosmah tidak dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah berikutan status Mysejahtera yang berwarna jingga.

Semasa prosiding Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah akan mempertimbangkan cadangan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk mengadakan perbicaraan dalam talian.

Peguam tertuduh Datuk Jagjit Singh mengesahkan kepada mahkamah bahawa status Mysejahteranya masih jingga.

Sri Ram kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan hakim mengarahkan prosiding dijalankan melalui prosiding secara dalam talian.

Bekas hakim mahkamah persekutuan itu berkata bersedia untuk mengatur agar DPP lain hadir di kediaman Rosmah pada prosiding secara dalam talian.

Sri Ram menambah, pegawai mahkamah juga boleh hadir di kediaman Rosmah supaya prosiding dalam talian dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.

Prosiding dalam talian melibatkan situasi di mana hakim dan pihak pendakwaan hadir di mahkamah, manakala tertuduh mengikuti prosiding dalam talian dari lokasi lain.

Rosmah, 69, sebelum ini menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

BERITA BERKAIT
POPULAR