Selepas Najib, 1MDB berjaya dapat injunksi mareva halang Jho Low lupus dan alih aset

Jika sebelum ini 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya mendapatkan injunksi mareva terhadap Datuk Seri Najib Razak, kini bekas rakan sejawatnya Low Taek Jho atau Jho Low juga dikenakan perintah sama apabila dihalang daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya di Malaysia bernilai sehingga USD1.03 bilion.

Untuk rekod, Najib sebelum ini juga dikenakan injunksi sama apabila dilarang daripada mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga pada nilai USD681,000,000.

Keputusan membenarkan permohonan injunksi mareva itu dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dan ia juga berkuatkuasa terhadap bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng yang melibatkan aset bernilai USD401.5 juta, menurut laporan Bernama.

Peguam 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai, berkata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan injunksi itu dikuatkuasakan sehingga permohonan antara parti diselesaikan.

“Injunksi sementara diberikan dengan terma yang sama dengan perintah antara pihak yang dikeluarkan. Mahkamah menetapkan 25 Mei depan untuk pendengaran permohonan antara pihak,” kata peguam tersebut.

1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) diwakili peguam Wong Chee Lin, Dhanyaa Shreeya, Kong Xin Qing dan Tommy Lim sementara M Puravalen, Chong Mun Fong dan Wong Hong Yi mewakili Jho Low dan bapanya.

Pada 15 Mac, Hayatul membenarkan permohonan injunksi mareva 1MDB dan Global Diversified yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam saman 1MDB terhadap Jho Low, bapa beliau dan beberapa individu lain.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih daripada RM20,000 sebulan bagi setiap perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman dan jika mereka mahu amaun yang lebih, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam-peguam 1MDB dan Global Diversified.

Terdahulu, Najib semasa dikenakan injunksi mareva juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

BERITA BERKAIT
POPULAR