Selepas kes baharu tertinggi, jumlah kematian juga tertinggi

Data 29 Mei 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi adalah sebanyak 98 kes.

“98 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, jumlah kematian harian tertinggi pernah dilaporkan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, 27 kes kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing 14 kes di Johor dan Kuala Lumpur dan masing-masing lapan di Kedah serta Negeri Sembilan.

“Lima kematian di Pulau Pinang, Sarawak (lima), masing-masing empat di Sabah dan Terengganu, Pahang (tiga), Kelantan (dua), Melaka (dua) dan masing-masing satu di Perak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 5,527 pesakit telah sembuh manakala 844 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 430 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 9,020 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, termasuk lima kes import, menjadikan jumlah kes aktif sekarang mencecah 76,218 kes.

Katanya, Selangor mencatatkan jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 2,836 kes, diikuti Kelantan (907 kes) dan Negeri Sembilan (898 kes).

Enam negeri terus mencatat peningkatan bilangan kes harian tertinggi dengan lima daripadanya menunjukkan kenaikan membimbangkan.

“Selangor sahaja hari ini menunjukkan peningkatan yang mengejutkan apabila jangkitan naik sebanyak 784 kes kepada 2,836 kes berbanding 2,052 kes yang dicatatkan pada Jumaat,” katanya.

Manakala Kelantan pula merekodkan peningkatan kes harian baharu empat hari berturut-turut iaitu 907 pada hari ini, Jumaat (851), Khamis (754), Rabu (547), berbanding Selasa sebanyak 425 kes.

Wilayah Persekutuan Labuan pula daripada enam kes yang direkodkan pada Jumaat 28 Mei 2021, tetapi hari ini melonjak mendadak kepada 253 kes baharu positif jangkitan Covid-19.

Kes di Negeri Sembilan juga naik mendadak daripada 520 yang dicatatkan pada Jumaat menjadi 898 kes baharu hari ini, meningkat sebanyak 378 kes positif.

Perlis walaupun negerinya kecil namun peningkatan jangkitan hari ini juga membimbangkan apabila mencatatkan 19 kes, berbanding lapan kes semalam.

POPULAR