
Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengambil sampel darah babi untuk mengesan jangkitan demam babi Afrika. - Gambar hiasan
Kerajaan PH-BN akan berdepan masalah mengawal kestabilan harga daging babi sebagaimana diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), setelah bekalannya kini berkurangan susulan penularan penyakit demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia ASF telah menjadi krisis besar bagi industri daging babi dalam beberapa tahun kebelakangan ini serta menjejaskan beberapa wilayah di seluruh dunia.
Menurut badan dunia tersebut, penyakit virus itu sangat menular pada babi domestik dan liar, serta kadar kematian boleh mencapai 100 peratus.
Di Malaysia, ASF telah dikesan menjangkiti babi di sebuah ladang babi di Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan, di George Town dan ladang tersebut telah ditutup bagi menghapuskan ternakan di situ.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang melaksanakan langkah-langkah pencegahan di ladang itu, termasuk menghentikan operasi kenderaan pengangkutan babi rentas negeri.
“Keseluruhan ladang (babi) itu telah ditutup dan babi sedang dimusnahkan serta ditanam di lokasi pada masa ini, kami mahu membendungnya serta menghalangnya daripada merebak ke ladang babi lain
“Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil langkah sewajarnya serta menasihati penternak babi di Pulau Pinang untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila wabak ASF melanda negeri lain kira-kira dua bulan lalu.
“Di samping itu, keseluruhan ladang berkenaan telah ditutup, babi sedang dimusnahkan serta ditanam di lokasi pada masa ini. Kita mahu membendungnya dan menghalangnya daripada merebak ke ladang babi lain,” katanya menurut laporan Buletin Mutiara, hari ini (6 Januari 2023).
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan cadangan untuk mengawal kestabilan harga daging babi, menjelang Tahun Baharu Cina pada 22 Januari depan, akan dibawa untuk perbincangan mesyuarat Kabinet esok.
Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).