
Ahli keluarga dan rakan Datuk Seri Najib Razak turut hadir di Istana Kehakiman di Putrajaya semalam (23 Ogos 2022) bagi mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri itu. - Gambar Heikal Rosli/Agenda Daily
Selepas dua hari daripada 12 tahun bermalam di Penjara Kajang, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat kemunculan pertama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok (Khamis, 25 Ogos 2022).
Bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang dipenjara itu dijangka menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sequerah sebelum ini, menetapkan esok bagi pengurusan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB, di mana Najib menghadapi empat pertuduhan.
Ahli Parlimen Pekan berusia 68 tahun itu, dituduh menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dilapor mengesahkan perkara tersebut.
‘Raja Media Sosial’ UMNO itu sekali lagi akan muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat (26 Ogos) bagi menghadiri perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB, bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Bagi kes itu, mahkamah menetapkan 26 Ogos dan beberapa tarikh lain pada 2 September serta 21, 25 dan 28 Oktober untuk meneruskan perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelak tindakan diambil terhadapnya.
Najib juga berdepan enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).