Selepas dikritik FGV upah perunding semak gaji pengerusi, BOD

June 28, 2022 · Isu semasa

FGV Holdings Berhad (FGV) anak syarikat Felda melantik perunding untuk menyemak pakej imbuhan yang dibayar kepada pengerusi dan pengarah bukan eksekutifnya, setelah menerima kritikan hebat terhadap keputusan mesyuarat agung tahunannya (AGM) minggu lalu yang meluluskan kenaikan gaji dan elaun yang besar.

Dalam satu kenyataan semalam Lembaga Pengarah (BOD) FGV berkata pengerusinya, Datuk Dzulkifli Abd Wahab juga bersetuju untuk mengetepikan yuran tahunan RM40,000 sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Lembaga, sehingga AGM akan datang pada 2023, serta elaun mesyuarat RM2,000 bagi setiap mesyuarat.

“Pada 2021, Dzulkifli tidak menggunakan haknya untuk faedah berkaitan elaun keraian, keahlian kelab dan pengawal peribadi,” kata kenyataan itu.

FGV berkata pada 2019, yuran pengerusi bukan eksekutif dikurangkan daripada RM600,000 kepada RM300,000 berserta beberapa pemansuhan dan pengurangan faedah tertentu.

Pada 2022, lembaga pengarah melantik perunding bebas untuk menjalankan semakan dan penanda aras ke atas imbuhan pengarah bukan eksekutif.

“Lembaga pengarah FGV telah dinasihatkan oleh perunding bebas bahawa elaun kereta yang diberikan kepada pengerusi bukan eksekutif akan digantikan dengan kereta syarikat kerana ia tidak mencerminkan norma pasaran dan sektor memandangkan syarikat itu secara amnya tidak mengewangkan penyediaan manfaat kereta syarikat dalam bentuk elaun.

“Berdasarkan nasihat tersebut, lembaga FGV mencadangkan untuk menyediakan kereta syarikat kepada pengerusi bukan eksekutif dan mengekalkan jumlah tunai yang diberikan kepadanya sebelum ini dengan menukar elaun kereta sebanyak RM180,000 kepada yuran lembaga pengarah.

“Oleh itu, FGV menjelaskan bahawa tiada peningkatan dalam jumlah tunai yang diterima oleh pengerusi bukan eksekutif,” katanya.

Sementara itu, menurut kertas agenda AGM yang dipetik oleh Malay Mail, menunjukkan cadangan perubahan imbuhan tidak menyatakan bahawa kenaikan RM180,000 dalam yuran lembaga untuk Dzulkifli akan ditukar daripada elaun kereta yang diperuntukkan.

Di bawah butiran “faedah baharu yang dicadangkan”, adalah dicadangkan supaya Dzulkifli diberi “sebuah kereta syarikat sekurang-kurangnya 2000cc dengan perbelanjaan utiliti kereta RM180,000 setahun”, tanpa menyatakan bahawa jumlah itu akan ditukar sebagai yuran BOD.

Sebelum ini, pemegang saham telah meluluskan 13 resolusi pada AGM FGV, antara lain, menaikkan yuran tahunan Dzulkifli sebagai pengerusi bukan eksekutif kepada RM480,000 daripada RM300,000 sebelumnya.

Dzulkifli akan menerima yuran bulanan RM40,000 sebagai pengerusi bukan eksekutif lembaga pengarah, naik RM15,000 sebagai sebahagian daripada struktur yuran baharu yang berkuat kuasa pada 24 Jun.

Pada masa sama, tujuh pengarah bukan eksekutif FGV lain akan menerima yuran bulanan sebanyak RM12,500 sehingga AGM berikutnya, kenaikan RM2,500.

Harga saham FGV telah menjunam hampir 13 peratus sejak awal Jun, turun 60 sen sesaham daripada RM1.73 pada 1 Jun kepada RM1.53 setakat semalam.

FGV disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 2012 menjadi kegemaran pelabur pada harga tawaran RM4.55 sesaham dalam apa yang dianggap sebagai tawaran awam permulaan kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Harga saham telah menjunam sejak penyenaraian. Pada 23 Jun 2021, harga saham FGV didagangkan pada hanya RM1.30.

Felda dan KPF kini menguasai 81 peratus saham FGV, dengan kerajaan Pahang dan Sabah memiliki baki masing-masing lima dan empat peratus.

Prestasi buruk syarikat itu dilihat sebagai salah satu punca yang mendorong Barisan Nasional hilang kuasa pemerintahan negara pada pilihan raya umum 2018.

Berita berkaitan
Pengurus bank sahkan RM1 juta diterima Sharir daripada Najib
August 11, 2022· Isu semasa
KSN jumpa Cuepacs bincang desakan naik gaji penjawat awam
July 30, 2022· Isu semasa
Anwar kritik keputusan DUN Sabah naik gaji anggota pentadbiran
July 20, 2022· Politik
Speaker dan Timbalan naik gaji tinggi daripada ADUN di Sabah, Shafie pertikai
July 20, 2022· Politik
Popular
Najib, Sungai Buloh jadi trend di Twitter selepas permohonan ditolak
August 16, 2022
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Zahid tukar reka bentuk LCS walaupun TLDM tidak setuju
August 17, 2022
‘Sila laksanakan’, tulis Zahid dalam surat berkaitan skandal kapal LCS
August 17, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Sindiket penipuan pembantu rumah ligat ketika krisis Covid-19
34 minit lalu · Isu semasa
3,516 kes semalam, 15 kematian
2 jam lalu · Isu semasa
Rayuan akhir Najib bermula hari ini
2 jam lalu · Isu semasa
Malaysia berhasrat belajar dari Thailand halal ganja perubatan
12 jam lalu · Isu semasa
‘Sila laksanakan’, tulis Zahid dalam surat berkaitan skandal kapal LCS
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Polisi baharu cegah kematian tahanan polis
August 15, 2022
[VIDEO] Himpunan kapal LCS mahu siasatan bukan penjelasan
August 15, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok