Selepas dikecam hakim ‘memalukan negara’, Najib ungkit kes forex Dr Mahathir

Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menahan kecaman hakim semasa keputusan dijatuhkan di Mahkamah Rayuan hari ini dan menunding skandal tukaran wang asing (forex) Tun Dr Mahathir Mohamad adalah lebih memalukan negara.

Bekas Perdana Menteri (PM) itu semasa sidang media selepas dijatuhkan hukuman mendakwa skandal forex semasa pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini lebih teruk berbanding dengan kesalahan disabitkan terhadapnya.

“Bukankah itu lebih memalukan negara,” soal Najib dalam sidang media atas talian selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan dia bersalah.

Malah, Najib juga mempertahankan semasa mentadbir negara sudah banyak kekayaan diciptanya, antaranya selama menjadi PM, aset negara berkembang daripada RM800 bilion kepada RM2 trilion.

“Saya telah cipta banyak kekayaan untuk negara ini,” katanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membidas tindakan Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC) bukan perkhidmatan buat negara, sebaliknya memalukan Malaysia.

Najib nyata tersentap dengan kenyataan tersebut selepas Mahkamah Rayuan memutuskan sabitan hukumannya kekal hari ini.

Hari ini, panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan bekas Presiden UMNO itu untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai PM ketika itu.

Bekas PM itu mendakwa dalam pembelaan, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (National embarrassment),” kata Abdul Karim.

Abdul Karim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

BERITA BERKAIT
POPULAR