Selepas dikecam biadab, Tajuddin akhirnya dipecat Pengerusi Prasarana

Tajudin dilihat ketawa ketika memberi jawapan pada sidang media berkaitan tragedi dua LRT bertembung di ibu negara sehingga mencederakan lebih 200 penumpang malam kelmarin.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mencetuskan kontroversi berhubung caranya yang tidak profesional mengendalikan sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini dipecat daripada jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.

Khidmatnya ditamatkan Kementerian Kewangan serta-merta dan surat penamatan kontrak tersebut ditandatangani Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bertarikh 26 Mei 2021.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan YB Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta,” kata surat yang dilihat Agenda Daily.

Awal hari ini, Tajuddin menerima desakan supaya meletak jawatan susulan kenyataan dan tingkah laku beliau pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas LRT kelmarin.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Menurut satu petisyen yang dilancarkan menerusi Change.org, Tajuddin dituduh sombong, angkuh dan bongkak ketika sesi sidang media sejurus melawat lokasi tragedi.

Tajuddin juga didakwa membuat kenyataan kasar terhadap seorang wartawan asing dari China. Dengan reaksi air muka yang ditunjukkannya ketika memberi jawapan lucu yang menyakitkan terhadap soalan serius yang diajukan oleh wartawan itu.

“Ditambah pula dengan ‘racist remark’ beliau terhadap seorang journalist Cina,” kata petisyen itu, sambil mengatakan Tajuddin juga melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka.

“Oleh itu, kami mendesak agar Tajudin Abdul Rahman, MP Pasir Salak untuk segera meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana. Kementerian Kewangan juga perlu bertindak memecat Tajudin jika dia masih lagi berkeras melepas jawatan tertinggi anak syarikat MOF tersebut,” kata petisyen itu lagi.

Tajuddin juga didakwa tidak menunjukkan profesionalisme dalam kedudukannya sebagai ketua organisasi infrastruktur penting di negara ini dan dalam hal ini menimbulkan rasa malu yang tidak terucapkan kepada negara.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup mukaJune 9, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021