Selepas 12 tahun lelaki disyaki rogol remaja akhirnya ditangkap

Walaupun kes telah berlalu kira-kira 12 tahun lalu, namun polis tidak berputus asa untuk mengesan pelaku jenayah, sekali gus melakukan tangkapan untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam kejadian terbaharu pada Khamis lalu (7 April), sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menangkap seorang lelaki berumur 40 tahun di Balik Pulau, Pulau Pinang, kira-kira jam 3.30 petang.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata suspek ditahan di ladang ternakan kambing bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, yang berlaku 12 tahun lalu.

“Siasatan saintifik menggunakan data Asid Deoksiribonukleik (DNA) telah berjaya mengenal pasti identiti suspek dalam kes ini.

“Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek, sebelum berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Menurutnya suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Polis tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehinggalah berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Abd Jalil berkata polis sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

BERITA BERKAIT
POPULAR