Selangor rekod 50 kematian, kumulatif negara lepasi 6,000

Jumlah kumulatif kematian di Malaysia akibat Covid-19 sejak pandemik itu melanda pada Mac tahun lalu kini melepasi angka 6,000 kes apabila hari ini merekodkan 87 lagi kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu 78 membabitkan warganegara.

Beliau berkata Selangor kekal mencatat kes tertinggi dengan 50 kematian diikuti Johor (lapan), Pahang (enam) dan masing-masing lima di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kedah.

Semalam negara merekodkan 77 kematian, manakala jumlah tertinggi kematian harian setakat ini adalah sebanyak 135 (Khamis – 8 Julai 2021).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari tadi 5,910 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan kumulatif 737,103 kes atau 89.1 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 827,191 kes.

“Terdapat 84,021 kes masih aktif dengan 959 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi, sementara 451 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh itu juga 29 kluster baharu dilaporkan menjadikan keseluruhannya 3,058 dengan 2,188 ditematkan dan 870 kluster masih aktif.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan KKM hari ini, 19 daripada kluster baharu itu membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (lima), pusat tahanan (tiga) dan kumpulan berisiko tinggi (dua).

Enam daripada kluster baharu tempat kerja dicatatkan di Johor dengan keseluruhan sebanyak 94 kes diikuti Selangor (lima), Sabah (tiga), masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Pahang, dan satu di Terengganu.

Lima negeri iaitu Johor, Melaka, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan satu kluster komuniti, manakala tiga kluster pusat tahanan dikesan di Sarawak.

Jumlah jangkitan tertinggi bagi kluster komuniti membabitkan Kluster Sri Rakyat di Cheras, Kuala Lumpur melibatkan 158 kes positif.

Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) turut merekodkan jangkitan membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan berdasarkan data terkini 9 Julai 2021 nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.11.

Katanya, negeri yang mencatat nilai RT tertinggi adalah Putrajaya (1.19) manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Perak (1.17), Kuala Lumpur (1.16), Selangor (1.16), Kedah (1.13), Pahang (1.11), Sabah (1.10), Terengganu (1.08), Melaka (1.05), dan Negeri Sembilan (1.04).

BERITA BERKAIT
POPULAR