Selangor, Negeri Sembilan catat peningkatan kes kematian

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di Selangor dan Negeri Sembilan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, terus meningkat.

Melalui data yang dikeluarkan hari ini, Selangor merekodkan 47 kematian berbanding 43 yang dicatatkan semalam, sementara Negeri Sembilan pula melaporkan 16 kes kematian berbanding 12 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh sama sebanyak 91 kematian membabitkan 79 warganegara dan 12 bukan warganegara dicatatkan di seluruh negara menjadikan kumulatif kepada 5,768 kes.

Beliau berkata, dalam tempoh sama 4,863 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 719,678 kes, sementara 7,097 kes baharu turut dikesan yang membabitkan 26 kes import terdiri daripada 15 warganegara dan 11 bukan warganegara.

“74,344 lagi kes masih aktif. Seramai 948 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dan 441 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh itu 18 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya sebanyak 2,970 kluster dengan 2,120 daripadanya sudah ditamatkan dan 850 lagi masih aktif.

Beliau berkata jangkitan dalam komuniti merekodkan jumlah kluster tertinggi iaitu sebanyak sembilan kes, manakala kluster tempat kerja (enam), dan kumpulan berisiko tinggi (dua) dan satu kluster pendidikan tinggi.

Empat negeri iaitu Sarawak, Sabah, Johor dan Selangor masing-masing merekodkan dua kluster komuniti, dan masing-masing satu di Perak dan Kelantan.

Sementara itu Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor masing-masing merekodkan dua kluster tempat kerja, dan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selangor turut mencatatkan masing-masing satu kluster pendidikan tinggi dan kumpulan berisiko tinggi, manakala satu lagi kluster kumpulan berisiko tinggi membabitkan kes di Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR