‘Selangor dalam ICU’, KKM laksana pelan kontigensi Covid-19

Tidak seperti digambarkan Ketua Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, situasi semasa Covid-19 di Selangor semakin membimbangkan sehingga Kerajaan Pusat terpaksa melaksanakan pelan kontigensi di negeri itu.

Antara pelan kontigensi yang dilaksanakan termasuk menugaskan kakitangan kesihatan dari klinik yang kurang pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Memetik kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini, beliau menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa menggerakkan kakitangannya dari negeri berdekatan Selangor ke negeri itu.

Sebelum ini Dr Dzulkefly mendakwa kadar kebolehjangkitan di Selangor masih rendah berbanding negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang, dan pasukannya serta kerajaan Selangor berada pada tahap baik menguruskan wabak.

Namun sejak beberapa hari lalu, Selangor terus menjadi negeri paling banyak jangkitan Covid-19 mengikut kes harian. Semalam sahaja, negeri itu mencatatkan 10 kematian dengan 2,277 kes baharu, menjadikan kumulatif kes sebanyak 161,584.

Mengulas lanjut Dr Adham berkata, kerajaan akan memberi insentif khusus kepada mereka yang bertugas menangani kes-kes Covid-19, termasuk elaun.

“Kerjasama turut dipertingkatkan dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang mana ada hospital universiti sudah bersetuju mobilisasi katil-katil ke tempat yang diperlukan di Selangor,” katanya.

Dr Adham juga dilaporkan berkata, ruang dan kemudahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) turut dipertingkatkan dengan menambah kelengkapan dan katil untuk menampung jumlah kemasukan pesakit di pusat kuarantin itu.

Situasi di PKRC Maeps semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit kategori tiga yang pada awalnya hanya mempunyai 60 katil pada awal Januari lalu.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang memaksa hospital yang dikhaskan merawat penyakit itu meningkatkan jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan mengubah fungsi wad biasa.

Katanya, tindakan terbabit terpaksa dilakukan selepas situasi Lembah Klang pada tahap sangat kritikal manakala sistem penjagaan kesihatan di bawah tekanan yang amat besar.

“Lebih membimbangkan 79 peratus daripada jumlah katil ICU di hospital Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperuntukkan untuk kes Covid-19.

“Jumlah kemasukan ke ICU Covid-19 termasuk yang disyaki dijangkiti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu yang lalu,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR