Selangor catat kematian tertinggi

Sebanyak 73 lagi kematian yang membabitkan 70 warganegara dan 3 bukan warganegara akibat Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif kematian kepada 3,684.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu 29 kes, diikuti Johor (11 kes), dan Negeri Sembilan (lapan kes).

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 5,671 lagi kes positif baharu Covid-19, termasuk lapan kes import yang masing-masing empat warganegara dan bukan warganegara, direkodkan dalam tempoh masa berkenaan menjadikan kumulatif kes naik kepada 639,562.

Semalam, 9 Jun, negara mencatatkan 6,239 kes sementara pada 8 Jun pula sebanyak 5,566. Pada 7 Jun pula sebanyak 5,271 kes baharu dikesan diikuti 6 Jun (6,241 kes); 5 Jun (7,452 kes); 4 Jun (7,748 kes); 3 Jun (8,209 kes); 2 Jun (7,703 kes); dan 1 Jun (7,105 kes).

“Hari ini sebanyak 7,325 kes telah sembuh, 79,848 kes masih aktif dan 911 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 462 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hari ini juga 22 kluster baharu dikesan menjadikan kluster aktif sebanyak 745, manakala 1,677 kluster ditamatkan.

Katanya, daripada 22 kluster baharu itu tujuh dikesan di Selangor dengan semuanya adalah kluster tempat kerja, Johor (enam – tempat kerja), Kuala Lumpur (dua – tempat kerja), dan Pulau Pinang (tiga – tempat kerja).

Sarawak merekodkan dua kluster baharu komuniti, dan masing-masing satu di Putrajaya (tempat kerja), Kedah (tempat kerja), Sabah (keagamaan), dan Negeri Sembilan (komuniti).

Data 10 Jun 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR