Selangor catat 1,467 kes, 17 kluster baharu dikesan hari ini

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Melaka hari ini melonjak lebih sekali ganda berbanding semalam, setelah kewujudan satu kluster berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November lalu.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, jangkitan di negeri itu meningkat kepada 373 kes, berbanding 129 yang direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Ini menjadikan kumulatif kes positif di negeri itu naik sebanyak 72,880 kes, dengan 70,048 pesakit sembuh, dan 944 lagi meninggal dunia.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 1,698 kes aktif, termasuk 1,199 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 347 ditempatkan di PKRC; 137 dimasukkan ke hospital; dan 15 dirawat di unit rawatan rapi, dengan tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan seramai 137 individu dikesan positif Covid-19 dalam Kluster Pulau Gadong yang berpunca daripada pelaksanaan PRN bulan lepas.

Jumlah tersebut meningkat daripada hanya 41 individu yang positif Covid-19 pada awalnya, dan melibatkan jangkitan pelajar serta guru.

Sementara itu, sembilan lagi negeri merekodkan peningkatan jangkitan hari ini, dengan Selangor mencatat kes tertinggi sebanyak 1,467 kes berbanding 1,465 semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 764,421 kes.

Bagi negeri-negeri lain, Johor merekodkan 551 kes baharu hari ini berbanding 407 semalam; diikuti Pahang (438 kes baharu, 413 semalam); Sabah (329 kes baharu, 322 semalam); dan Perak (244 kes baharu, 183 semalam);

Sarawak pula mencatat 90 kes baharu, berbanding 55 semalam; Perlis (40 kes baharu, 33 semalam); Putrajaya (32 kes baharu, 25 semalam); dan Labuan (21 kes baharu, 12 semalam).

Sementara itu, jumlah kluster baharu Covid-19 yang dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi juga meningkat kepada 17, berbanding 13 kluster semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadi keseluruhannya 6,022 kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu hingga hari ini, dengan 5,768 telah ditamatkan dan 254 lagi masih aktif.

Beliau juga memaklumkan, daripada 5,446 kes positif baharu hari ini, 88 kes atau 1.6 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala selebihnya 98.4 peratus adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Menurutnya sehingga kini seramai 419 pesakit dirawat di ICU, dengan 232 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Seramai 5,427 pesakit pula telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,586,822 kes atau 96.6 peratus daripada 2,678,465 kumulatif kes positif,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham memaklumkan lima negeri mencatat Rt melebihi 1.00 dengan tertinggi dikesan di Perlis sebanyak 1.07.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Empat negeri lain yang mencatat nilai Rt yang tinggi ialah Pulau Pinang dan Negeri Sembiulan masing-masing 1.02; Pahang (1.01) dan Melaka (1.00).

BERITA BERKAIT
POPULAR