Selangor benar saf solat rapat, kehadiran ikut protokol vaksin

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan saf solat di masjid, surau dan musolla di seluruh negeri itu boleh dirapatkan bermula 1 April 2022, dengan mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan baharu itu diperkenankan Sultan Selangor setelah berunding dengan beberapa pihak, termasuk Jabatan Kesihatan Selangor, dan Ahli Dewan di-Raja.

“Baginda telah berkenan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting, terutama langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata jemaah dikehendaki mematuhi beberapa ketetapan yang telah ditetapkan seperti:

  1. Hanya individu yang telah lengkap menerima dos vaksin Covid-19 sebagaimana telah ditetapkan KKM sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla;
  2. Bagi individu yang berumur di bawah 18 tahun dan telah lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenar hadir ke masjid, surau dan musolla;
  3. Individu yang hadir ke masjid, surau dan musolla dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka; dan
  4. Individu yang bergejala diminta menangguhkan daripada menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musollah sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain.

Menurutnya Sultan Selangor juga berkenan Solat Tarawih pada Ramadan akan datang dikekalkan dengan 20 rakaat.

Katanya, semua aktiviti lain melibatkan masjid, surau dan musolla serta aktiviti sepanjang Ramadan di seluruh negeri boleh dilaksanakan seperti biasa.

Menurutnya Sultan Selangor bagaimanapun masih bimbang kerana penularan wabak Covid-19 di Selangor masih tinggi dengan jumlah kematian sehingga 19 Mac lalu mencecah 10,413 kes dengan lebih 50 peratus melibatkan orang Melayu.

“Satu ketetapan secara lebih terperinci mengenai perkara itu untuk dikuatkuasakan pada 1 April 2022 akan dikeluarkan oleh JAIS kepada pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR