Sela masa dos penggalak dipendekkan kepada tiga bulan: Khairy

Kementerian Kesihatan (KKM) memendekkan sela masa bagi suntikan dos penggalak kepada tiga bulan selepas penerimaan dos vaksin primer bagi vaksin dua dos atau vaksin dos tinggal.

Langkah itu diambil susulan hasil dapatan data kajian klinikal dan kajian Real World, termasuk The Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines Under the Malaysia National Covid-19 Immunisation Programme (RECoVaM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata hasil dapatan yang dijalankan oleh institut kesihatan negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 semakin berkurangan.

“Data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi, daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

“Selain itu, bukti kukuh yang terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak Covid-19 mungkin meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron,” katanya pada sidang media hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, hasil kajian awal membabitkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

“Sejajar itu, badan regulatori seperti di UK, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima dos kedua vaksin primer,” katanya.

Beliau berkata, hasil penilaian bukti sedia ada, kumpulan kerja teknikal memberikan saranan baharu berkenaan pemberian dos penggalak Covid-19 iaitu warga emas berumur 60 tahun ke atas serta individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin Pfizer, AstraZeneca dan CoronaVac amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan, selepas menerima vaksin primer.

“Selain itu, keutamaan pemberian dos penggalak kepada individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

“Pemberian dos penggalak ini dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas dan seterusnya 18 tahun ke atas,” katanya.

Katanya, saranan Kumpulan Kerja Teknikal itu akan disemak dari semasa ke semasa berdasarkan data serta maklumat terkini.

BERITA BERKAIT
POPULAR