Sektor terjejas dapat diskaun bil elektrik selama 3 bulan

Nilai keseluruhan program Pemerkasa Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM5 bilion.

Kerajaan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ yang bermula esok, kata  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara Julai hingga September 2021.

“Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa, kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2021.

“Selain itu, pelanjutan sehingga 31 Disember 2021 bagi pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri: Bantuan PKP 3.0 sebentar tadi.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan program bantuan Pemerkasa Plus sebagai inisiatif terbaru kerajaan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown).

Katanya, nilai keseluruhan program Pemerkasa Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM5 bilion.

Tambahnya, langkah baru Pemerkasa Plus akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam; meneruskan agenda prihatin rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan.

POPULAR