Sektor perbankan bantu realisasikan aspirasi negara: Tengku Zafrul

Sektor perbankan Malaysia berkedudukan baik untuk merealisasikan aspirasi Malaysia, terutama ketika ia sedang melalui transformasi dan perubahan besar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia, yang terletak secara strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, mempunyai antara taraf hidup tertinggi di rantau ini, lapor Bernama.

“Berlandaskan kesalinghubungan terbaik dan rancangan untuk lebih banyak pelaburan infrastruktur dan modal insan pada tahun-tahun akan datang, negara ini bersedia menjadi pangkalan serantau dan antarabangsa yang ideal untuk perniagaan.

“Kita mahu merealisasikan potensi ini dengan meletakkan negara ini sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan teknologi baharu dan menarik, serta titik tumpuan bagi pertukaran idea dan maklumat,” katanya ketika berucap merasmikan ibu pejabat baharu HSBC Malaysia di Menara IQ yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara, pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang baru dilancarkan kini menjadi tumpuan, dan ia penting untuk sektor kewangan dalam mengharungi cabaran dan peluang mendatang, di samping sebagai pemboleh utama yang akan merealisasikan matlamat ekonomi mengikut Rancangan Malaysia ke-12.

Pada dasarnya, pelan tindakan ini akan merealisasikan matlamat Malaysia ke arah negara yang lebih makmur, inklusif dan mampan, katanya.

“Justeru, kami amat menghargai para pelabur yang sekian lama melabur di Malaysia seperti HSBC yang telah melaksanakan peranan utama di negara ini sepanjang 130 tahun lepas, dan kini membantu dalam memudah cara pemulihan ekonomi, pertumbuhan dan transformasi Malaysia,” katanya.

Beliau menyifatkan 130 tahun merupakan satu tempoh yang amat panjang dan selama lebih satu abad, HSBC telah berganding bahu dengan Malaysia dan rakyatnya, melakukan peranan penting dalam pembangunan negara ini.

Tengku Zafrul berkata komitmen itu termasuk penyertaan dalam pelbagai inisiatif nasional antaranya penerbitan Sukuk Kemampanan berdaulat dalam denominasi dolar AS pertama dunia oleh kerajaan Malaysia selain pemudahan JanaNiaga dan SemarakNiaga untuk menambah baik mudah tunai perniagaan dan akses kepada pembiayaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR