Sektor ekonomi perlu dibenar beroperasi semasa PKP, kata PPIPBM

Langkah kerajaan membenarkan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah wajar, kata Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM).

PPIPBM menyedari peningkatan jangkitan kes Covid-19 semakin serius bagaimanapun gesaan pihak tertentu supaya kerajaan menutup sepenuhnya sektor ekonomi seperti PKP 1.0 lalu hanya akan menyebabkan para peniaga bumiputera mengalami kerugian lebih teruk pada ketika mereka sedang bangkit daripada kesan PKP terdahulu yang dilaksanakan.

“Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) mewakili hampir 5,000 ahli yang terdiri daripada syarikat/perusahaan kecil dan sederhana termasuk mikro tidak bersetuju sekiranya cadangan ini dilaksana kerajaan ke atas industri-industri yang sedang beroperasi kini.

“Ahli-ahli kami telah menanggung kerugian sejak pandemik melanda tahun lalu, kini sedang bangkit perlahan-lahan mulai awal tahun 2021, meneruskan perniagaan dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut persatuan lagi, bebanan kos operasi yang ditanggung pengilang juga akan semakin parah sekiranya PKP penuh dilaksanakan dan ia berkemungkinan berisiko tinggi kepada majikan yang terpaksa membuat pekerja.

“Warga pengilang masih perlu membayar pinjaman, sewaan premis, dan gaji pekerja. Pergerakan ekonomi rakyat yang merupakan para pekerja di sektor ini juga penting dalam tempoh pandemik ini memberi kegusaran kepada mereka bagaimana untuk meneruskan kehidupan menanggung keluarga lagi sekiranya dibuang kerja jika ahli-ahli kami tidak lagi mampu menanggung kerugian.

“Kesempitan pendapatan akan juga membawa kesan kepada keharmonian dan kesihatan mental sekeluarga,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, PPIPBM memahami situasi petugas barisan hadapan yang sedang berdepan tekanan susulan peningkatan kes, namun mengulangi pendirian PKP penuh adalah langkah tidak sesuai buat masa ini.

“PPIPBM turut bersimpati dengan tekanan warga ‘front liners’ dan memahami kengkangan system kesihatan negara yang kini menghampiri kapasiti penuh.

“Akan tetapi PPIPBM berpendapat langkah ‘total lockdown’ tidak sesuai buat masa ini. Sebaliknya kerajaan perlu menumpukan usaha percepatkan pembekalan & pengedaran vaksin dan menguatkuasa pematuhan SOP oleh masyarakat di semua peringkat,” katanya lagi.

Negara hari ini mencatat rekod baharu tertinggi jangkitan sebanyak 6,075 kes.

Sebelum ini, rekod kes harian tertinggi dilaporkan pada 30 Januari lalu dengan 5,728.

BERITA BERKAIT
POPULAR