PKP 3.0: Sekatan sektor ekonomi, sosial diperketatkan lagi

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju memperketatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

“Mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam Sidang Khas pada hari ini, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.

Terdahulu, satu sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 berlangsung pada petang tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

PKP 3.0 sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.

Sebelum ini KKM memaklumkan sistem kesihatan negara sekarang ini berada dalam tekanan hebat susulan peningkatan jangkitan Covid-10, tatkala gelombang ketiga terus mengganas di beberapa negeri.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 6,493 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan kumulatif kes di Malaysia meningkat kepada 498,795.

BERITA BERKAIT
POPULAR