Sekatan polis di Lembah Klang diperketat mulai hari ini

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim

Polis Kuala Lumpur dan Selangor mula memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR) di setiap plaza tol di Lembah Klang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan SJR di sekitar ibu negara, tidak termasuk Putrajaya.

“Putrajaya ada empat SJR maka untuk Kuala Lumpur, kami menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan SJR dan kita akan mula melaksanakannya esok,” katanya.

Memetik laporan Bernama, mengenai jumlah petugas yang diperlukan, beliau berkata perkara itu akan dilihat dari semasa ke semasa memandangkan pihaknya akan memperoleh bantuan daripada beberapa agensi keselamatan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pula berkata, setakat ini, pihaknya melaksanakan kira-kira 50 hingga 70 SJR di sekitar Selangor bagi memastikan pengguna jalan raya tidak curi-curi merentas negeri kecuali mereka yang mempunyai kebenaran.

“Kalau mana-mana yang tiada kebenaran itu kita akan suruh mereka patah balik. Macam semalam, kebenaran telah diberikan (kepada mereka) yang ingin ambil anak dari sekolah berasrama,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 583 permohonan rentas negeri melalui pengangkutan udara di balai polis Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, di sini ditolak bagi tempoh 30 April hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia berikutan justifikasi permohonan didapati tidak munasabah dan dokumen perjalanan yang dikemukakan tidak sah atau tidak lengkap.

Beliau berkata permohonan yang diberi kelulusan adalah hanya bagi tujuan menziarahi kematian ahli keluarga terdekat seperti pasangan sendiri, anak, ibu dan adik-beradik, kecemasan dan pasangan suami isteri jarak jauh.

“Kesemua permohonan ini mestilah mendapat kebenaran polis melalui permit rentas negeri sebelum membuat sebarang tempahan atau pembelian tiket penerbangan.

“Polis Petaling Jaya mengingatkan orang ramai bahawa bukti tiket penerbangan yang telah dibeli bukanlah alasan kukuh bagi mendapatkan kelulusan permit rentas negeri,” katanya dalam kenyataan.

POPULAR