
Duta Besar Thailand ke Malaysia Chainarong Keratiyutwong merasmikan Festival Makanan dan Produk Halal Thailand (Thai Festival 2022) di Konsulat Jeneral Diraja Thai (RTCG) di Kota Bharu, hari ini (27 Ogos 2022). - Gambar Bernama
Thailand menjangkakan pelancong Malaysia ke negara itu mencecah sejuta orang menjelang akhir tahun ini, susulan pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara sejak April lepas.
Duta Besar Thailand ke Malaysia Chainarong Keratiyutwong berkata sejak pintu sempadan dibuka semula, kira-kira 600,000 pelancong Malaysia berkunjung ke negara tersebut khususnya ke Hat Yai serta beberapa wilayah lain.
“Kami jangka pengunjung akan meningkat sehingga sejuta orang menjelang akhir tahun ini sekali gus membantu memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan selepas kebanyakan negara dilanda pandemik Covid-19.
“Sektor ekonomi dan pelancongan di Thailand juga semakin pulih dengan kemasukan pelancong Malaysia sekali gus dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara ini,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas merasmikan Festival Makanan dan Produk Halal Thailand (Thai Festival 2022) di Konsulat Jeneral Diraja Thai (RTCG) di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Patimoh Sadiyamu dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Mengulas mengenai festival itu, Chainarong berkata program dua hari bermula hari ini yang berlangsung di RTCG itu, merupakan mekanisme penting dalam mengerakkan dan membina hubungan rapat antara Thailand dan Malaysia.
“Festival seperti ini merupakan peluang yang baik bagi kami (kerajaan Thailand) untuk menonjolkan makanan dan produk kami. Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan lebih banyak festival seperti ini di Malaysia.
“Kita turut mengalu-alukan kerajaan Malaysia untuk mengadakan festival sebegini di Thailand bagi mempromosikan produk dan makanan negara ini yang saya percaya akan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.