Sejuta kanak-kanak sudah daftar PICKids: Khairy

Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini melepasi sejuta individu iaitu 28 peratus bagi kohort kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun selepas tiga minggu pelaksanaan program itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berharap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ bagi mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, menurut laporan Bernama.

“Harap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebab kadar kemasukan hospital kanak-kanak mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk #PICKids hari ini!” menurut hantaran itu.

Beliau turut berkongsi infografik pendaftaran PICKids setakat semalam yang menyaksikan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya.

Setakat semalam, sebanyak 513,393 individu atau 14.5 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui program itu yang mula dilaksanakan pada 3 Feb lepas.

Menerusi satu lagi ciapan, Khairy berkata lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan dalam menggalakkan lebih ramai penerima yang layak menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) berbuat demikian.

Beliau berkata hanya 561,000 daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak telah menjalani saringan kesihatan percuma di bawah skim PeKa B40.

“Lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan terutama dalam kalangan komuniti yang terpinggir.

“Butiran lanjut boleh didapati di @protecthealthco (ProtechHealth Corporation). Marilah kita sama-sama mencegah NCD (penyakit tidak berjangkit),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR