Sejauh mana keberkesanan pemansuhan prosedur pengasingan?

Sepanjang minggu ini jangkitan Covid-19 sudah melepasi 20,000 kes sehari memberi petunjuk baharu bahawa masyarakat perlu bersedia hidup dengan virus ini.

Graf jangkitan mencanak naik kembali bermula pada peng­hujung Januari lalu ekoran penularan varian Omicron hingga mencatatkan kes tertinggi sehingga 27,831 kes kelmarin.

Pun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal melaksanakan pemansuhan prosedur pengasingan bagi mana-mana individu yang didapati menjadi kontak rapat akan diumumkan pada minggu depan.

Berdasarkan prosedur sebelum ini, individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak diarahkan menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh tujuh hari.

Bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak, mereka hanya perlu menjalani pengasingan selama lima hari sekiranya didapati menjadi kontak rapat kes positif Covid.

Mengemukakan rasional di sebalik keputusan sedemikian yang berkemungkinan dilihat sebahagian daripada usaha peralihan ke fasa endemik, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia bagi menghindari ‘tempias’ terhadap faktor ekonomi dan sektor pekerjaan.

Namun, sejauh manakah keberkesanan langkah drastik KKM ini? Lebih-lebih lagi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor bakal dilaksanakan tidak lama lagi?

Menurut Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun, peperangan menentang virus Covid-19 perlu diaktifkan semula lebih-lebih lagi jika rakyat mahu meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Konsep peperangan ini mudah sahaja, kita kena kembali berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Kalau dilihat, ramai yang sudah alpa atau leka selepas kes jangkitan mula menurun sejak beberapa bulan lalu.

“Cukuplah kita kembali ber­disiplin dengan sentiasa memakai pelitup muka, kerap basuh tangan, mengambil suntikan dos penggalak serta tidak ke tempat sesak jika tiada keperluan mendesak,” katanya.

Menurut beliau, hasil pepe­rangan itu boleh dilihat dalam tempoh enam minggu daripada sekarang.

“Sekarang ini, jumlah kes tinggi adalah hasil daripada dua ming­gu lepas yang mana rata-rata rakyat Malaysia bercuti ketika perayaan Tahun Baharu Cina. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang alpa dan gagal mematuhi SOP ketika berada di kampung atau semasa bercuti.

“Namun, jika kita kembali mematuhi SOP yang ditetapkan, nilai bacaan R-naught (Rt) yang dicatatkan sekarang ini iaitu 1.2 dapat kita turunkan seterusnya melandaikan semula jangkitan kes menjelang Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor His­ham Abdullah meramalkan kes harian Covid-19 berisiko kembali mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung Mac jika bacaan Rt kekal pada kadar 1.2.

Beliau bagaimanapun yakin tahap keseriusan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

Kesimpulannya, Malaysia khususnya umat Islam masih mempunyai harapan untuk meraikan Aidilfitri tahun ini sekiranya semangat peperangan menentang Covid-19 terus dinyalakan dari semasa ke semasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR