Sejauh mana golongan muda cakna hak sebagai pengundi?

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan skor domain sosialisasi politik dalam kalangan belia semakin merosot daripada 29.3 pada 2019 kepada 27.75 pada 2020.

Malah, domain sosiolisasi politik sejak 2015 hingga 2020 jauh lebih rendah berbanding domain lain dalam kajian tahap kualiti serta kesejahteraan hidup belia.

Walaupun kira-kira 700,000 pengundi baharu akan mewarnai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sejauh manakah golongan muda sedar hak sebagai pengundi dan mampu membuat keputusan sendiri menentukan pemimpin dalam proses demokrasi serta terbabit dalam parti politik dan pilihan raya?

Menurut Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA,  Prof Datuk Dr Ismail Sualman, kajian IYRES  menunjukkan belia kurang menyertai dan terbabit dengan aktiviti politik serta kurang dalam perbincangan mengenai isu politik semasa. Mereka yang terbabit dalam politik selalunya didedahkan lebih awal oleh ibu bapa dan keluarga yang juga ahli serta peminat politik.

“Mereka yang baharu melangkah keluar dari alam persekolahan berada dalam persimpangan sama ada ingin melanjutkan pelajaran atau mencari pekerjaan. Rata-rata kurang memahami realiti politik berbeza daripada diajar di sekolah.

“Secara keseluruhannya anak muda hanya akan berhubung, bergaul dan melalui proses sosialisasi bersama rakan sebaya atau lebih cenderung berkarya di media sosial, selain kurang berkomunikasi dengan orang lebih tua kecuali ibu bapa dan sanak saudara,” jelasnya.

Tambah beliau, kecenderungan terkini anak muda lebih kepada ‘perarakan dan protes’ didukung pemimpin tertentu. Persoalan sering diberi perhatian golongan berusia adalah sejauh manakah anak muda umur 18 tahun mampu membuat pertimbangan dan kewajaran memilih sama ada parti politik atau calon dan sejauh manakah emosi mengatasi pertimbangan dalam membuat keputusan?

Apatah lagi golongan muda agak kurang menceburi parti politik kecuali diajak ibu bapa dan guru atau rakan lebih berusia dengan pergerakan agak terbatas ketika pandemik.

“Hakikat ini bukan bermakna mereka tidak boleh didekati. Pendekatan pemasaran politik amat perlu bagi strategi memikat dan menarik minat agar memahami aspek demokrasi serta pilihan raya.

“Parti politik perlu memikirkan pendekatan kempen seperti produk politik, promosi, tempat dan kos serta harga perlu dibayar bagi mendapat sokongan pengundi.

“Penggunaan data dan usaha menjejaki pengundi muda perlu lengkap direkodkan, manakala pendekatan melalui alam maya perlu dioptimumkan untuk menyebar serta menyediakan maklumat,” katanya.

Tidak ketinggalan, penggunaan media sosial yang menjadi permainan utama golongan muda perlu ditingkatkan, tetapi kandungan dan mesej mesti sesuai dengan jiwa serta lenggok golongan itu.

Kempen alam maya dengan penggunaan semua peranti digital dan perisian perlu disesuaikan agar golongan muda terbabit bukan sahaja secara maya, bahkan fizikal. Pendekatan melalui sukan dan hiburan dilihat mampu memikat golongan ini yang cenderung kepada konsep santai.

“Namun pada setiap pilihan raya, semua parti politik perlu membuat persiapan termasuk bagaimana mahu ‘membawa’ pengundi keluar mengundi dan mendapat sokongan.

“Pada masa sama, parti bertanding PRN Johor perlu menimbangkan gabungan pemimpin muda dan lama agar wujud keserasian dengan pengalaman PRN Melaka menunjukkan calon muda profesional menjadi pilihan utama parti.

“Belum terlewat untuk parti politik membuat kajian sikap dan trend pengundi untuk menentukan siapakah serta golongan mana disukai,” ujarnya.

Namun, pendekatan kempen berstrategik menggabungkan penggunaan media sosial dan media lama perlu dilaksanakan. Media lama seperti poster, risalah, papan iklan dan kain rentang masih lagi ‘berbisa’ dalam mempengaruhi pengundi.

PRN Johor boleh dianggap tanda aras bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana membabitkan Undi18 yang diluluskan Parlimen dan disokong semua parti politik. Di sinilah kita dapat mengukur sejauh mana anak muda cakna dan berminat dalam proses demokrasi serta pilihan raya.

BERITA BERKAIT
POPULAR