Sejak bila Najib jadi jurucakap Tajuddin?

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman belum membuat permohonan maaf secara rasmi susulan cara beliau mengendalikan sidang media selepas melawat lokasi nahas LRT di ibu negara, semalam.

Sejak bila Datuk Seri Najib Razak menjadi jurucakap kepada Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menimbulkan persoalan apabila bekas Perdana Menteri itu menulis di laman Facebooknya setelah menghubungi Pengarah Pilihan Raya UMNO itu hari ini.

Atau adakah selama ini Tajuddin yang menerajui sebuah agensi penting kerajaan yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN), akan merujuk kepada bekas Perdana Menteri itu sebelum membuat apa-apa keputusan atau dasar berkaitan Prasarana?

Ini susulan kenyataan yang dibuat oleh Najib menerusi akaun Facebooknya hari ini yang mengatakan Tajuddin mengaku tersilap dalam cara mengendalikan sidang media selepas melawat lokasi tragedi Transit Aliran Ringan (LRT) semalam.

“Sebentar tadi saya telefon Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen UMNO. Dan dia boleh agak apa yang saya nak cakap.

“Beliau mengaku buat kesilapan dalam sidang media mengenai kemalangan LRT. Justeru, beliau menerima nasihat serta teguran saya,” tulis Najib.

Katanya, Tajuddin meminta maaf atas cara pengendalian sidang media tragedi di mana ramai penumpang cedera parah dan bukan masa untuk berseloroh.

“Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat. Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” katanya.

Najib juga bagi pihak Tajuddin berkata Prasarana akan menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera daripada RM1,000 kepada satu angka yang lebih memuaskan.

“Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan dari PERKESO dan dari majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja,” kata Najib lagi.

Beliau berkata, Tajuddin juga berjanji bahawa beliau akan memastikan siasatan penuh punca tragedi itu dan tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin.

Najib juga berkata, Tajuddin berjanji akan meletak jawatan sebaik sahaja Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengarahkan semua ahli UMNO untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai sebagaimana keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

Namun sehingga berita ini ditulis, Tajuddin sendiri belum membuat sebarang kenyataan permohonan maaf berhubung kejadian itu.

Hari ini, satu petisyen dibuat di dalam laman sesawang Change.org yang menggesa Tajuddin meletak jawatan.

Buat lawak pada sidang media nahas LRT, Tajuddin digesa letak jawatan

POPULAR