Sedang pertimbang waktu sesuai debat dengan Najib: Anwar

Kedua-dua pihak kini sedang menimbang mencari waktu yang sesuai bagi mengadakan debat berhubung isu Sapura Energy Bhd (Sapura Energy), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata wakilnya kini, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi parti itu sedang membuat penyelarasan dengan wakil Najib bagi memastikan rancangan debat dengan Datuk Seri Najib Razak dapat diadakan dalam masa terdekat.

“Dia juga telah diminta berbincang dengan pihak media terkait liputan penganjuran debat tersebut yang bagi saya harus disiarkan secara meluas,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Najib dan Anwar bakal berentap dalam satu debat susulan cabaran yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen (MP) Pandan, Rafizi Ramli berhubung isu melibatkan Sapura yang sedang berdepan isu aliran kewangan.

Dijangkakan program debat itu bakal disiarkan secara langsung, dan beberapa agensi media dilaporkan sedang berbincang untuk menganjurkan acara itu.

Anwar menerima cabaran itu semalam, dan berkata pendiriannya kekal tidak berubah sejak pertama kali mencabar Najib untuk berdebat mengenai ekonomi lebih sedekad lalu, yang akhirnya tidak berlaku.

Sapura ialah syarikat senarai awam yang telah menerima pelaburan besar daripada syarikat milik kerajaan iaitu, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang bertanggungjawab ke atas dana seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia.

PNB memegang 40 peratus kepentingan dalam Sapura, meningkat daripada 10 peratus daripada 2018 kerana ia terus menyalurkan dana kepada syarikat bermasalah itu.

Bagaimanapun, Sapura baru-baru ini memerlukan bantuan kewangan seterusnya yang menimbulkan persoalan sama ada PNB perlu terus menyuntik dana untuk mengeluarkan firma itu daripada masalah kewangannya.

Najib telah mencadangkan bail out kerajaan bagi menyelamatkan Sapura, ia bagaimanapun dibantah Rafizi dengan menyifatkan pengurusan baru syarikat itu mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah itu sendiri.

BERITA BERKAIT
POPULAR