
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Seramai 10 individu sudah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021 dan tiga daripadanya akan didakwa di mahkamah.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara sudah diterima untuk mendakwa tiga individu tersebut sementara tujuh yang lain diberi jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
“Daripada jumlah itu, tiga tahanan telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa perlu) (no. 2) 2021 manakala tujuh yang lain diberi jamin polis sehingga siasatan dilengkapkan.
“PDRM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Acryl Sani memberitahu sebanyak sebanyak 21 kertas siasatan juga sudah dibuka berhubung isu penyebaran berita palsu yang sama dan ia disiasat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (no.2) 2021 sejak ordinan itu dikuatkuasakan pada 12 Mac lepas.
“Seksyen 4(1) ordinan ini memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, atau kepada mana-mana golongan awam, mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Acryl Sani menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu untuk mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu-gugat keharmonian negara.
Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian.