Sebanyak 254 borang penamaan calon PRN Melaka sudah dijual SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menjual sebanyak 254 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjelang beberapa hari lagi sebelum hari penamaan calon, Isnin ini.

Jurucakap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata borang penamaan calon itu mula dijual pada 18 Oktober lalu di pejabat SPR di Putrajaya dan SPR Melaka.

“Segala proses pembelian berjalan lancar di kedua-dua tempat. SPR juga menasihatkan bakal calon yang bertanding mengisi borang dan membuat semakan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri, sebelum hari penamaan calon iaitu pada 8 November ini.

“Calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran bagi memastikan semua proses seterusnya lancar,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

BERITA BERKAIT
POPULAR