Sebanyak 2,195 laman sesawang yang mempromosikan judi dalam talian sudah disekat pihak berkuasa setakat Mac lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata sekatan tersebut dibuat selepas menerima permohonan rasmi pihak polis yang meminta sekatan dilaksanakandi bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain orang ramai juga menyalurkan maklumat kepada agensi itu.
“SKMM turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian.
“Ia dapat dilakukan mengikut terma perkhidmatan dan piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila muncul beberapa iklan komersil mempromosikan judi dalam talian yang tular dalam media sosial sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati memandangkan umat Islam ketika ini sedang menyambut bulan Ramadan.
Mengulas lanjut, ia berkata, dari aspek penguatkuasaan, SKMM turut melaksanakan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan nombor aktif disahkan.
Usaha itu penting bagi mengelakkan talian disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah aktiviti penipuan dan kegiatan promosi judi dalam talian.
“Sejumlah 19,765 talian telah ditamatkan atas kesalahan mesej ringkas ‘spam’ yang dikesan mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, SKMM memberi peringatan kepada pengguna agar lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan kandungan sedemikian yang boleh memudaratkan masyarakat.
Sekiranya terjumpa kandungan sebegitu, ujar SKMM, para pengguna media sosial digesa agar segera melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.