Saya tak letak jawatan, kata Tengku Zafrul perbetul laporan media

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menegur Utusan Malaysia kerana membuat laporan tidak benar mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Kewangan.

Dalam kenyataannya beliau berkata akhbar berkenaan boleh bertanya kepada pegawainya sama ada beliau telah meletak jawatan atau pun tidak.

“Saya ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang bertanya sama ada saya telah letak jawatan. Ini berkaitan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah di Parlimen.

“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?

“Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media – gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” katanya.

Mengenai isu ketidakhadiran di Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Tengku Zafrul menjelaskan beliau mempunyai kecemasan peribadi pagi tadi dan tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat dan perkara ini telahpun dimaklumkan semalam.

“Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

“Mengikut prosedur soalan MQT, hanya Menteri sahaja yg boleh memberikan jawapan, dan ini bukan pertama kali seorang Menteri diminta untuk membacakan jawapan Menteri lain. Banyak precedent on this,” katanya sambil berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang membacakan jawapan beliau.

Beliau memberi jaminan akan menyediakan jawapan kepada soalan tambahan secara bertulis.

BERITA BERKAIT
POPULAR