
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata beliau mengesyaki pengurusan 1MDB memintas lembaga pengarah dan mendengar arahan daripada ‘peringkat lebih tinggi’, iaitu Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Tindakan itu katanya membawa kepada pemindahan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low.
Bakke menghuraikan peristiwa yang berlaku pada 2009 di mana 1MDB menjalinkan usaha sama (JV) palsu dengan syarikat Saudi pada tahun itu yang membawa kepada penyedutan dana oleh Jho Low.
Beliau memberi keterangan pada perbicaraan 1MDB-Tanore di mana Najib didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.
Memetik laporan TheEdge, pada 2009, Najib dan Jho Low meminta 1MDB memeterai perjanjian JV 40:60 dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) Arab Saudi, dalam apa yang dicadangkan sebagai inisiatif kerajaan-ke-kerajaan.
Syarikat JV (JVCo), yang dinamakan 1MDB-PetroSaudi Ltd, melibatkan 1MDB menjalankan pelaburan ekuiti AS$1 bilion manakala PSI akan menyuntik aset bernilai AS$1.5 bilion.
Bagaimanapun, selepas perjanjian JV ditandatangani, PSI berkata suntikan aset AS$1.5 bilion ke dalam JVCo memerlukan pendahuluan AS$700 juta untuk 1MDB, yang bermakna 1MDB berhutang kepada PSI.
Melalui arahan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 1MDB mengalihkan AS$700 juta daripada pelaburan ekuiti JV AS$1 bilion ke dalam akaun milik Good Star, atas alasan PSI mengatakan bahawa Good Star adalah gabungannya.
Wang itu kemudiannya telah disedut oleh Jho Low untuk membayar rasuah dan sogokan kepada ramai pegawai luar negara dan tempatan, termasuk Najib.
Bakke, yang kini Pengerusi Petroliam Nasional Bhd, berkata beliau telah ‘mensyaki’ bahawa arahan pemindahan AS$700 juta kepada Good Star datang daripada Jho Low dan Najib.
“Saya mengesyaki mungkin ada arahan yang diberikan oleh peringkat lebih tinggi kepada Shahrol, berhubung pemindahan dana AS$700 juta, tetapi saya tidak pernah menyoalnya sepanjang saya menjadi ahli lembaga pengarah. ‘Dengan peringkat yang lebih tinggi’ saya maksudkan mungkin Jho Low dan Najib,” katanya dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Bakke berkata, apabila syak wasangkanya terbukti benar setelah isu itu terbongkar pada 2015 menerusi laporan media, beliau kemudian bertanya kepada Shahrol mengenai pemindahan itu, dan Shahrol telah memberitahunya bahawa Najib telah memberinya mandat untuk mengesahkan dana tersebut.
“Saya berjumpa Shahrol selepas isu penyelewengan timbul pada awal 2015. Shahrol memberitahu saya, beliau mendapat mandat daripada Najib untuk memindahkan dana tersebut. Bagaimanapun, Shahrol tidak menunjukkan sebarang dokumen kepada saya untuk menyokong apa yang diberitahunya kepada saya.
“Oleh itu, saya tidak tahu dan tidak melihat sebarang dokumen yang diluluskan atau arahan yang diberikan oleh Najib kepada Shahrol atau kepada mana-mana individu dalam 1MDB berhubung pemindahan AS$700 juta kepada PSI,” katanya.
Bakke akhirnya meletak jawatan pada Oktober 2009. Beliau memberi keterangan bahawa alasan beliau meletak jawatan adalah kerana Shahrol dan pengurusan 1MDB tidak mematuhi arahan yang diberikan lembaga pengarah berhubung beberapa perkara.
Beliau menyenaraikan perkara berkenaan iaitu:
- Pemindahan AS$1 bilion dalam dua peringkat di mana AS$700 juta dipindahkan kepada PSI dan AS$300 juta kepada JVCo yang dikenali sebagai 1MDB-PetroSaudi di dalam akaun J.P. Morgan, Switzerland – yang melanggar arahan lembaga pada mesyuarat bertarikh 26 September 2009 untuk memindahkan keseluruhan AS$1 bilion ke dalam akaun JVCo di BSI Bank SA, Switzerland;
- Rancangan untuk memindahkan dana itu tidak pernah dibincangkan dengan beliau atau mana-mana ahli lembaga pengarah oleh pengurusan 1MDB pada mana-mana mesyuarat lembaga pengarah, selain mesyuarat bertarikh 3 Oktober 2009 yang mana pemindahan itu telah pun berlaku;
- Semakan sewajarnya terhadap PSI dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd, yang merupakan pemegang saham JVCo, tidak dilakukan oleh pengurusan 1MDB;
- Penilaian bebas kedua bagi aset JVCo tidak dilakukan oleh pengurusan 1MDB. Sebaliknya, ia dibuat berdasarkan penilaian Edward L Morse, yang dilantik oleh PSI. Sebagai pihak yang berminat dalam pelaburan dalam JVCo, 1MDB sepatutnya melantik seorang penilai secara bebas yang boleh memberikan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai tentang nilai aset JVCo; dan
- Pelantikan tiga individu daripada 1MDB ke lembaga pengarah JVCo (di mana salah seorang daripada mereka perlu pakar dalam industri minyak) untuk memastikan kawalan tambahan ke atas pengurusan JVCo, juga tidak dilakukan.
Najib meminta Bakke mempercepatkan JV dengan PSI
Bakke berkata beliau mempunyai perasaan tidak selesa untuk memulakan JV dan lembaga pengarah 1MDB juga tidak senang mengenainya.
Bagaimanapun, mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 September 2009, yang diadakan untuk mendapatkan kelulusan bagi JV itu, Bakke berkata Najib telah bercakap dengannya dan memintanya untuk “mempertimbangkan dengan segera cadangan itu dan menetapkan keputusan mengenainya”.
Sebelum mesyuarat itu, Bakke berkata Jho Low telah menyerahkan telefon kepadanya (kepunyaan Jho Low) untuk bercakap dengan Najib.
“Jho Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada saya dan berkata ‘PM di talian, mahu bercakap dengan awak’. Saya menjawab panggilan di bilik mesyuarat dan saya pasti Najib sendiri berada di talian. Najib berkata kepada saya lebih kurang, ‘Bakke, lembaga pengarah tidak sepatutnya melihat ke belakang dan mempersoalkan bagaimana wang itu diperoleh’ … ‘apa yang penting adalah untuk lembaga itu memberi tumpuan kepada cadangan PetroSaudi, di mana perbincangan telah dibuat beberapa lama’…
“‘Saya ingin lembaga mempertimbangkan cadangan ini dengan cepat dan menetapkan keputusan mengenainya’ … ‘ini adalah projek penting yang bersifat G-to-G’ … ‘Saya sedang mengatur majlis menandatangani projek’.
“Saya memberitahunya ‘Saya akan memaklumkan ahli lembaga pengarah yang lain dan kami akan menelitinya’,” kata Bakke.
Bakke berkata bahawa beliau telah memaklumkan kepada lembaga mengenai hasrat Najib pada mesyuarat itu.
“Selepas berbincang dengan Najib, saya memaklumkan kepada semua BOD (lembaga pengarah) 1MDB yang hadir pada masa itu bahawa JV dengan PSI berada pada tahap tertinggi antara kedua-dua negara, iaitu perjanjian kerajaan-ke-kerajaan dan ini telah berlarutan untuk beberapa waktu.
“Najib mengarahkan agar keputusan cadangan JV dengan PSI disegerakan dan dikukuhkan kerana terdapat lawatan kerja kerabat diraja Saudi di mana perjanjian itu akan dilaksanakan oleh kedua-dua negara,” katanya yang akan disoal balas pasukan pembelaan Najib kemudian.