
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Saksi kes, Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberitahu pelantikannya sebagai ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana gajinya terlalu rendah semasa menjawat jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Sidek semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.3 bilion hari ini memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanya berhubung gajinya sebelum melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah.
“Saya ingin nyatakan ketika Najib jadi Perdana Menteri, pernah sekali dia tanya saya tentang gaji sebagai KSN dan dirasakan gaji saya sebagai KSN terlalu rendah.
“Jadi, saya anggap pelantikan saya dalam 1MDB adalah untuk tingkatkan pendapatan saya selaku KSN yang dianggap Najib sebagai sepadan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Saksi perbicaraan ke-19 itu juga berkata sepanjang menjadi ahli lembaga selama enam tahun bermula akhir 2010, beliau tidak pernah diundang ke sebarang mesyuarat untuk membincangkan isu berkaitan syarikat itu.
Malahan, pelantikan beliau juga diberitahu menerusi sepucuk surat daripada Najib bertarikh 30 Ogos 2010.
Menerusi surat daripada 1MDB bertarikh sama, katanya lagi, beliau dimaklumkan akan mendapat bayaran RM30,000 sebulan sebagai ahli lembaga penasihat dan ia berkuat kuasa 1 Julai 2010.
Najib ketika itu Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
Katanya lagi, ekoran persaraannya sebagai KSN pada 23 Jun 2012, 1MDB mengekalkannya dalam Lembaga Penasihat tetapi bayarannya dikurangkan kepada RM10,000 berkuat kuasa Januari 2013.
Namun Sidek berkata tidak lagi menerima bayaran mulai Jun 2015 selepas dilantik menjadi Pengerusi Petronas.
Menurut laporan pada 2013, pendapatan bulanan KSN adalah lebih RM23,000.
Selain itu, Sidek memberitahu sepanjang menjadi Lembaga Penasihat 1MDB, beliau tidak pernah diberi penerangan kepadanya atau berbincang berkenaan isu pelaburan dan operasi berkaitan syarikat.
Katanya, beliau kemudian melihat laporan media berkenaan dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan siasatan SPRM berkenaannya.
“Namun, saya tak pernah diberi penerangan atau diberitahu lebih lanjut berkenaan siasatan terhadap 1MDB. Saya sahkan Najib selaku perdana menteri ketika itu tidak pernah jelaskan isu 1MDB kepada saya, walaupun dengan pelantikan saya sebagai ahli lembaga penasihat.
“Saya juga tak pernah tanya Najib mengapa tiada mesyuarat lembaga penasihat dibuat ketika saya menganggotainya. Saya juga tak pernah terima apa-apa laporan daripada sesiapa dalam 1MDB berkenaan operasi dan pelaburan yang dibuat.
“Saya juga ingin katakan yang saya tak pernah tanya Najib atau sesiapa dalam 1MDB berkenaan masalah dalam syarikat kerana menurut kefahaman saya, 1MDB ditubuhkan untuk digunakan sebagai dana politik kepada parti pemerintah ketika itu, iaitu BN,” katanya lagi.
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa atas 16 tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Najib turut didakwa dengan lima tuduhan, menggunakan hasil daripada aktiviti haram untuk disalurkan kepada lima pihak.
Ia membabitkan RM20,000,000 kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000); ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn. Bhd (RM2,000,000) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).