Saya bukan zalim, keputusan PKP 3.0 untuk lindungi nyawa rakyat, kata PM

May 12, 2021 · Isu semasa

Keputusan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 tidak berniat menzalimi rakyat sebaliknya bertujuan untuk melindungi nyawa orang ramai susulan negara sekali lagi berdepan saat genting penularan Covid-19 sekali lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri memahami keputusan dibuat kerajaan tidak popular pada ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri esok, namun langkah tersebut perlu diambil kerana kemunculan varian baharu lebih merbahaya dan pesakit tidak menunjukkan simptom.

“Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah Kerajaan ini?

“Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, mana lah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif Covid-19. Ini kerana ramai pesakit Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri malam ini.

Jelas Muhyiddin, sekiranya amalan menziarahi dibenarkan ia berisiko tinggi akan menjadi punca kepada penularan Covid-19 dengan lebih cepat dan tidak mustahil jumlah jangkitan boleh mencecah puluhan ribu yang akan mengundang bencana lebih besar kepada negara.

“Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu. Kalau dia ziarah 10 buah rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti Covid-19.

“Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari, naúzubillahi min zalik,” katanya.

Menurut Muhyiddin, sistem kesihatan negara juga akan menerima kesan sekiranya kes jangkitan melonjak mendadak memandangkan katil-katil di hospital sudah mencapai tahap maksima.

“Pada masa ini, hospital-hospital di negara kita telah hampir mencapai kapasiti maksima. Katil-katil wad ICU semakin penuh. Kita boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator.

“Tetapi jika kes-kes positif naik dengan mendadak, sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan pun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah setiap hari,” ujarnya lagi.

Muhyiddin berkata kerajaan cuba mengelak bencana lebih besar berlaku sekiranya sistem kesihatan lumpuh dan tidak mahu melihat pesakit mati bergelimpangan.

“Pada masa itu , seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan yang kritikal pada masa ini akan lumpuh .

“Sepertimana yang berlaku di negara lain , pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital – hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit,” katanya lagi.

Kata Muhyiddin lagi, varian baharu yang ganas seperti dialami di beberapa negara dunia lain sudah mula dikesan di dalam negara.

“Lebih membimbangkan, terdapat varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa buah negara lain.

“Saya cukup bimbang apabila varian-varian ini telah mula dikesan di negara kita,” ujarnya lagi.

Dalam perutusannya lagi, Muhyiddin menyampaikan penghargaan dan berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang akan menjalankan tugas sepanjang musim perayaan kali ini.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti, penat lelah serta pengorbanan anda semua siang dan malam bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan kita semua,” katanya lagi.

Muhyiddin turut menggesa rakyat supaya menjaga disiplin diri dengan mengakhiri perutusan Aidilfitri membaca doa meminta keberkatan serta memohon keredhaan maha pencipta Allah SWT agar melindungi seluruh rakyat Malaysia dalam mengharungi dugaan pandemik Covid-19.

“Jadi saya nak merayu kepada sadara dan saudari sekalian, tingkatkan disiplin diri, patuhilah SOP pada setiap masa. Duduklah di rumah.

“Tak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting. Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri.

“Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini,” katanya lagi.

Berita berkaitan
Ideologi yang berbeza,hala tuju yang tidak jelas Kerajaan Perpaduan
January 1, 2024· Rencana
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Kit Siang bangkitkan isu PM bukan Melayu, tapi Puad pula bidas PN
December 17, 2023· Politik
PM bukan Melayu, UMNO akan terpaksa ikut tuntutan DAP: Muhyiddin
December 16, 2023· Politik
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Satu sen pun tiada peruntukan dari kerajaan : MP pembangkang
June 13, 2023
Bantah tulisan Jawi serlah sikap Islamofobia pemimpin DAP
January 19, 2022
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok