‘Saya bukan bomoh tepi jalan… saya akan saman RM300 juta’

Ibrahim Mat Zin atau popular dengan gelaran ‘Raja Bomoh’ akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak, termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kerana menuduhnya melakukan perbuatan syirik.

“Apabila dituduh syirik, saya malu, apabila saya dimalukan, saya akan saman. Saya bukan bomoh tepi jalan atau bomoh kampung, sepatutnya perkara ini kita bincang dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

‘Raja Bomoh’ itu juga sedia dipanggil JAIPk berhubung ritual tolak musibah banjir yang dilakukannya di Teluk Intan kelmarin.

Bagaimanapun, setakat ini dia belum dihubungi oleh JAIPk untuk memberi penjelasan mengenai ritual yang dilakukannya itu, lapor Utusan.

“Saya kesal kerana JAIPk terus menjatuhkan hukum bahawa perbuatannya itu bercanggah dengan ajaran Islam. Saya memang tunggu dia (JAIPk) panggil saya. Tapi kenapa dia (JAIPk) jatuh hukum awal-awal mengatakan ini (ritual) syirik, khurafat, bolehkah macam itu?

“Sepatutnya jumpa saya, berbincang dan beritahu perbuatan ini salah, (JAIPk) mencegahnya, jadi saya boleh minta maaf (atas) kesilapan saya, tapi awal-awal lagi sudah kata ini syirik, khurafat,” katanya.

Katanya berikutan tuduhan ritual yang dilakukannya itu syirik, dia mahu membawa perkara itu ke mahkamah dan menuntut RM300 juta.

‘Raja Bomoh’ itu mendakwa telah membuat laporan polis mengenai ritual yang dijalankannya itu dengan menyatakan ritualnya itu tidak mengaitkan atau mengkritik mana-mana pihak.

“Dalam laporan polis yang saya buat, saya menyatakan upacara yang saya lakukan itu tidak mencaci mana-mana pihak,” katanya.

Ibrahim berkata dia melakukan ritual menolak banjir menggunakan petua orang dahulu kala, yang merupakan ikhtiar untuk menjauhkan musibah banjir di sini berikutan beberapa negeri dilanda banjir besar baru-baru ini.

“Memang dahulu pejabat agama arahkan saya tak boleh buat ritual, betullah tu, tapi apabila saya tengok banjir sudah melanda, saya sebagai pengamal perubatan tradisional membuat usaha saya secara tradisional menggunakan petua orang dahulu kala,” katanya.

Semalam, tular klip video dalam media sosial menunjukkan ‘Raja Bomoh’ itu mengadakan upacara menolak banjir di Dataran Pengairan dan Saliran Teluk Intan.

Sehubungan itu, JAIPk membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Video berdurasi selama 25 minit itu tular di laman media sosial yang menunjukkan Ibrahim bersama seorang wanita melakukan ritual tepung tawar menggunakan bahan termasuk beras, kunyit, bunga-bungaan dan daun yang kemudian dihanyutkan ke dalam laut. Berita berkaitan

BERITA BERKAIT
POPULAR