
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengambil kerusi Parlimen daripada Khairy Jamaluddin dalam PRU-15 menang di Rembau, manakala Menteri Kesihatan kerajaan sementara itu pula yang 'dibuang' ke Sungai Buloh, kalah.
Ketika sedang hangat isu diminta memberi laluan kepada orang lain bertanding di Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sedang dalam lawatan kerjanya hari ini memberitahu mahu membincangkan dan berunding kerusi dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu berkata hasratnya mengintai kerusi Parlimen di Kedah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) secara berseloroh dan menjelaskan maknya juga berasal dari negeri tersebut semasa sidang media bersama Sanusi, menurut laporan BH.
“Hari ini saya berada di sini untuk berbincang dan berunding (bertanding kerusi Parlimen) dengan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor),” katanya secara berseloroh.
“Mak saya dari Kedah,” tambahnya lagi.
Perkara itu dibalas Sanusi yang turut berada dalam sidang media sama dengan berkata, “Dialu-alukan… tadi dengar sebut Aloq Setaq, Aloq Setaq, cakap Kedah elok dah.”
Khairy kemudian dilihat tidak mahu memanjangkan isu itu dan menamatkan sidang media dengan berkata “Tak apalah.”
Baru-baru ini, Khairy mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau sebagai memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (Timbalan Presiden Umno) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan.
“Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.
“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya sebelum ini.
Khairy dilihat tergolong dalam barisan baharu yang berpotensi untuk mengambil alih kepemimpinan tertinggi UMNO dan langkah beliau harus dicantas terlebih dahulu, kata individu yang rapat dengannya tetapi tidak membenarkan nama disiarkan.
Sumber itu mengimbas sejarah Khairy bertanding Presiden UMNO pada 2018 dan memperoleh 51 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (93 undi), tetapi mendahului veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).