‘Saya akan jaga adik-adik, akan ingat pesan arwah ayah, ibu’

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itu yang dialami Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Mersing, Johor, setelah kematian ibu bapanya akibat Covid-19.

Jika seorang diri mungkin tidak berat bahu memikul, namun dia ditinggalkan dengan tanggungjawab menjaga adik-adiknya seramai tujuh orang. Kekal dalam ingatannya kata-kata kedua orang tua tersayang supaya tetap menjaga adik-adik dan jangan berpisah sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.

Setiap kali memikirkannya, air mata Nazurah tetap berlinang, namun diserahkannya kepada takdir untuk menentukan, sementara usaha dan doa dipanjangkan kepada Yang Maha Kuasa agar muncul sesuatu yang lebih baik sebagai pengganti.

Merenung masa depan yang tidak pasti, dia tetap ingat pesan ibu bapanya.

“Ayah dan ibu pesan kepada saya untuk jaga adik-adik dengan baik walau apa pun yang terjadi, kami jangan berpisah. Saya akan jaga semua adik sebaiknya, akan ingat pesanan ayah dan ibu,” katanya sebak, mengekang air mata agar tidak tumpah.

Mengetahui hakikat yang hidup pasti mati, dia dan adik-adiknya reda dengan pemergian insan tersayang walaupun rasa sedih sangat menebal dalam diri kerana tidak lagi dapat bermanja, apa lagi bagi adik yang baharu empat tahun bermanja dengan kedua orang tua.

Lapan beradik ini menjadi yatim piatu dalam sekelip mata, namun begitu Nabilah tetap tekad menggalas tugas meneruskan kehidupan biarpun terpaksa melalui kesusahan.

Dia juga berharap agar adik-adiknya yang lain dapat menerima ketentuan itu dan bangkit daripada segala kesedihan yang mereka lalui, sambil berharap mereka dapat meneruskan pembelajaran demi memastikan masa depan yang lebih cerah.

“Saya mahu semua adik ke sekolah dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun dugaan kami besar, saya tidak mahu masa depan mereka tidak menentu dan tercicir dalam pelajaran,” tegasnya.

Menceritakan saat pemergian kedua ibu bapanya, ayahnya, Benyajeed Bernie, 45 tahun meninggal dunia pada 16 Julai lalu diikuti ibunya, Noraini Ibrahim, 43, dua hari kemudian.

Nazurah memberitahu bahawa arwah bapanya mempunyai sejarah penyakit angin ahmar sejak 10 tahun lalu manakala ibunya pula ada penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.

“Ibu dan bapa saya belum disuntik vaksin Covid-19 ketika mereka disahkan positif. Ibu positif terlebih dahulu dan ayah menjadi kontak rapat,” katanya sambil menambah dia dan adik-adiknya turut disahkan positif dan kini sudah tamat menjalani kuarantin diri.

Kisah sedih lapan beradik itu yang kini tinggal bersama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan negeri Pahang, syarikat swasta, jiran serta orang ramai.

Selain dari bantuan wang tunai, bakul makanan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), Nazurah juga turut ditawarkan pertukaran tempat pengajian ke Politeknik di Behrang, Selangor bagi membolehkan dia tinggal bersama semua adiknya.

Selain itu, kerajaan Pahang pula menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma kepada mereka. Rumah RRP yang dicadangkan itu akan dibina di kampung asal ibu mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

Sebelum rumah itu siap, rumah sewa sementara akan disediakan dan turut dibiayai kerajaan Pahang.

Kisah lapan beradik itu sebelum ini tular di Facebook pada Selasa lalu dan mendapat perhatian pengamal media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat.

Nazurah berkata dia akan tinggal bersama adik-adiknya di Rawang untuk menamatkan pengajiannya di Politeknik Sultan Azlan Shah dan dia belum merancang untuk tinggal bersama neneknya di Pahang.

“Memang kami ada buat keputusan untuk tinggal bersama nenek selepas ini, tetapi buat masa ini belum lagi sebab makcik mahu jaga kami di sini,” katanya.

Nazurah turut juga berterima kasih kepada kerajaan, terutama Ismail Sabri, membantu mereka dan berjanji dengan segala bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak akan digunakan sebaiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

BERITA BERKAIT
POPULAR