Sawan bukan titik penamat

Baru-baru ini industri hiburan dikejutkan dengan berita sedih apabila pengarah filem terkenal Mamat Khalid disah­­kan meninggal dunia di Slim River, Perak.

Berdasarkan mak­lumat awal, arwah pada mulanya diserang sawan dan rebah sekitar pukul 10 malam, di restoran miliknya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim. Apakah yang dimak­sudkan dengan sawan? Adakah penyakit ini boleh menyerang sesiapa tanpa sedar?

Terdapat kira-kira 50 juta penghidap sawan atau epilepsi di seluruh dunia, dengan 80 peratus daripada jumlah berkenaan di negara sedang membangun, termasuk Malaysia.

Dianggarkan penghidap sawan merangkumi satu peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia, dengan sejumlah besar 230,000 kes yang didiagnos, dialami individu daripada semua bangsa, usia dan jantina.

Menurut Perunding Neurologi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr. Azmi Abdul Rashid, sawan disebabkan oleh gangguan otak apabila sel-sel saraf secara tiba-tiba mengeluarkan isyarat elektrik yang luar biasa tinggi tanpa dapat dikawal oleh pesakit.

“Apabila sawan (besar) berlaku, seseorang itu akan tidak sedarkan diri dan berlaku kekejangan otot. Episod sawan selalunya berlaku selama satu hingga dua minit dan selepas itu pesakit akan tidak sedarkan diri untuk 15 sehingga 20 minit. Sekiranya sawan berlaku secara berulang-ulang, keadaan itu dipanggil epilepsi,” katanya.

Mengulas tentang kematian mengejut akibat sawan, Dr. Azmi memberitahu, kematian secara mengejut boleh berlaku kepada pesakit sawan.

Tambah beliau, keadaan ini dipanggil SUDEP (Sudden unexpected death in Epilepsy).

“Secara umumnya, kematian boleh berlaku kepada pesakit epilepsi sekiranya berlaku kecederaan otak yang serius semasa sawan contohnya jatuh dari tempat tinggi atau hentakan kuat kepada kepala.

“Kematian juga boleh berlaku sekiranya pesakit lemas di dalam kolam, sungai atau di laut semasa diserang sawan. Walaubagaimanapun dalam SUDEP, kematian berlaku bukan disebabkan punca-punca tersebut,” jelasnya.

Beliau memberitahu, ka­jian menunjukkan kadar SUDEP adalah 1.16 kes dalam 1,000 pesakit sawan. Beberapa teori diutarakan, iaitu pesakit berhenti bernafas semasa sawan berlaku (apnoea) sehing­ga menyebabkan kematian. Selain itu, berlaku degupan jantung yang abnormal (cardiac arrhyth­mia) semasa sawan sehingga membawa kepada kematian.

“SUDEP juga boleh berlaku kepada pesakit yang kerap mendapat sawan (uncontrolled epilepsy), terlupa mengambil ubat sawan, penyakit epilepsi pada umur yang masih muda dan pesakit epilepsi yang kronik.

“ Contohnya, SUDEP berlaku kepada anak artis terkenal Amerika Syarikat, John Travolta yang berumur 16 bernama Jett. Pada 2009, anak beliau yang menghidap epilepsi, meninggal dunia semasa berlaku sawan,” jelasnya.

Bercerita tentang gejala sawan, Dr. Azmi berkata, sawan dibahagikan kepada dua jenis iaitu sawan yang besar (generalized) dan sawan yang kecil atau separa (partial). Sawan besar akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri, jatuh dan berlaku kekejangan otot. Sebaliknya, dalam sawan yang kecil atau separa, seseorang itu mungkin dalam keadaan sedar atau separuh sedar.

“Kebanyakan punca penyakit epilepsi adalah idiopatik atau disebabkan faktor genetik. Sebanyak 20 peratus sehingga 25 peratus selebihnya disebabkan kerosakan otak berpunca dari jangkitan kuman otak, kecederaan otak, penyakit kongenital (penyakit semasa dalam kandungan) dan sebagainya,” katanya.

Walaupun penyakit ini kelihatan rumit, Dr. Azmi mem­beritahu, masih ada rawatan untuk pesakit.

Tam­bahnya, rawatan untuk pesakit epilepsi dili­hat dari dua aspek. Aspek pertama adalah untuk mencari punca berlakunya sawan. Ia dilakukan dengan menjalani ujian imbasan otak (CT scan atau MRI), ujian gelombang otak (electroencephalography), ujian darah dan sebagainya. Aspek kedua adalah, mem­beri ubat-ubatan untuk memberhentikan sawan itu dari berlaku (antiepileptic drug).

“Ubat-ubatan tersebut perlu diambil secara berterusan untuk beberapa tahun atau lebih, bergantung kepada kes dan nasihat doktor pakar. Sekiranya seseorang telah mengalami penyakit epilepsi sama ada kanak-kanak atau dewasa, iaitu sawan berulang, mereka harus mengambil ubat sawan (anti-epileptic drug) untuk beberapa tahun mengikut nasihat doktor. Ubat itu harus diambil setiap hari bertujuan untuk mengurangkan atau menghalang serangan sawan.

“Dalam pada itu, sawan berlaku secara mengejut dan ada beberapa perkara yang boleh kita bantu untuk mengurangkan kecederaan kepada pesakit. Sawan selalunya berlaku selama seminit atau dua minit sahaja. Lakukan bantuan kecemasan semasa sawan,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR