
Foto Facebook Ebit Liew
Polis mengesahkan satu lagi kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Semenanjung sedang berjalan dan hampir siap dalam masa terdekat.
Siasatan tersebut kini dalam peringkat akhir untuk disiapkan selepas selesai pertuduhan di Sabah baru-baru ini dan siasatan lanjut sedang berjalan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil.
“Kita telah menuduh kes yang dilaporkan di Tenom, Sabah manakala satu lagi laporan di Semenanjung masih berjalan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.
Jumaat lalu, Ebit, 37, mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan
Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun depan.
Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Abd. Jalil dilaporkan berkata, Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.