Satu kompeni tentera di setiap negeri sedia hulur bantuan: Panglima ATM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan anggotanya di setiap negeri untuk digerakkan ke lokasi bencana, terutama banjir, sekiranya diperlukan, kata Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sehubungan itu katanya, ATM mengekalkan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.

“ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekunder yang merupakan antara peranan yang kita laksanakan selain dari memikul tugas utama menjaga kedaulatan tanah air,” katanya pada sidang media di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

Mengenai bantuan di Shah Alam beliau berkata, lebih 500 tentera pelbagai pangkat terbabit dalam ‘Operasi Murni’ membantu penduduk melakukan kerja-kerja pasca banjir, termasuk pembersihan kemudahan awam di Taman Sri Muda.

Memetik Bernama beliau berkata, sebelum ini hanya 109 anggota tentera diatur gerak untuk memberi bantuan, tetapi jumlah itu ditambah untuk membantu kerja pasca banjir.

“Jika sebelum ini seramai 109 keanggotaan yang kita atur gerakkan. Hari ini ATM buat penambahan menjadikan 500 anggota untuk membantu kerja-kerja pembersihan.

“Trup di sini menumpukan kepada fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah-sekolah yang terjejas teruk.

“Aset terlibat, kita atur gerakkan adalah jengkaut dan lori ‘tipper’ serta aset tambahan lain yang sesuai dan kita selaraskan kerja-kerja ini dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” katanya

Mengulas berkenaan operasi di Pahang, Affendi berkata ATM kini memberi tumpuan di Mentakab dan Karak.

“Kita kini memberi tumpuan kepada dua lokasi ini dan juga lokasi-lokasi lain di Pahang yang terjejas banjir.

“Di Pahang, buat masa kini atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera dengan atur gerak melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota.

“Pada masa kini, ATM di Pahang banyak menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti kenderaan trak tujuh dan tiga tan yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot-bot tempur yang ada dalam pegangan ATM,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR