Saringan kontak rapat punca kes di Selangor naik

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini tampil menjelaskan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu adalah susulan daripada saringan kontak rapat yang dilakukan, selain pemeriksaan ke atas pekerja sektor swasta.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata lebih separuh daripada 6,120 kes baharu yang dicatatkan di Selangor hari ini adalah hasil daripada saringan dilakukan ke atas kontak rapat manakala sebahagian kecil daripada saringan pekerja, individu bergejala dan lain-lain.

“Sejumlah 4,150 kes atau 67.8 peratus kes baharu di Selangor hari ini adalah daripada saringan kontak rapat. Saringan pekerja pula membabitkan 913 kes atau 14.9 peratus, disusuli individu bergejala dengan 781 kes yang bersamaan 12.8 peratus.

“Kes lain pula membabitkan 111 kes saringan tidak bergejala atau 1.8 peratus, 94 kes atau 1.5 peratus daripada saringan berkait kluster, lima kes atau 0.1 peratus daripada saringan komuniti, serta lain-lain yang jumlahnya amat kecil.

“Ini bermakna, majoriti kes yang dikesan hari ini adalah daripada kontak rapat, disusuli saringan pekerja dan seterusnya,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata, sejumlah 65 peratus kes Covid-19 yang hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor adalah pesakit kategori 1; kategori 2 (20 peratus) dan kategori tiga hingga lima (15 peratus).

Katanya, terdapat kes di mana pesakit kategori dua yang diarah menjalani kuarantin di rumah, bertukar ke kategori lebih teruk dalam jangka masa tertentu.

“Bagi kes seperti ini, kita nasihatkan kepada pesakit untuk terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk segera dirujuk ke hospital berdekatan.

“Ada juga yang menghubungi Unit Pengurusan Utama Covid-19 Lembah Klang yang berpusat di di MAEPS, Serdang. Mereka akan uruskan di mana pesakit itu seharusnya dirujuk,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR