Sarawak rekod jangkitan harian tertinggi tahun ini

Sarawak hari ini (5 Mac 2022) merekodkan sebanyak 1,455 jangkitan baharu Covid-19 – jumlah kes harian tertinggi sepanjang tahun ini – meningkat berbanding 1,333 kes semalam.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif di Sarawak sebanyak 266,411 kes, menurut kenyataaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Sejak awal 2020 hingga semalam, seramai 255,382 pesakit telah sembuh, 1,631 kematian dilaporkan dan 7,943 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 7,287 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 186 ditempatkan di PKRC; 454 dimasukkan ke hospital; dan 16 dirawat di unit rawatan rapi, dengan lapan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari tahun lalu hingga semalam, seramai 2,139,213 atau 75.7 peratus populasi di Sarawak telah lengkap divaksinasi, 2,338,405 atau 82.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,521,906 atau 73.7 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Menurut kenyataan itu, antara daerah yang mencatatkan jumlah kes tiga angka ialah Kuching dengan 479 kes, diikuti Miri (254); Sibu (213); dan Bintulu (117).

“Daripada jumlah kes baharu itu, tujuh kes melibatkan jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, satu kematian dilaporkan hari ini melibatkan seorang wanita berusia 60 tahun di bahagian Kapit.

Sementara itu jangkitan di beberapa negeri lain hari ini dilaporkan turun meningkat, termasuk Pulau Pinang yang mencatat 2,621 kes baharu berbanding 2,592 semalam, dan Pahang (1,619 kes baharu, 1,535 semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR